Penyelidik Unimas diminta mempergiatkan lagi projek penyelidikan penyahgaraman air masin

Abang Johari (kiri) menyampaikan ijazah kepada graduan di sidang kedua Majlis Konvokesyen Unimas Ke-22, di Arena Gemilang, DeTAR PUTRA , Kampus Unimas.

KOTA SAMARAHAN, Okt 30: Kerajaan negeri meminta penyelidik di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) berusaha mempergiatkan lagi projek penyelidikan bidang penyahgaraman air masin untuk menghasilkan air tawar yang sedang dijalankan mereka.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata demikian kerana projek penyelidikan tersebut amat bertepatan keperluan semasa kerajaan negeri bagi mencari alternatif terbaik dalam menyelesaikan masalah air di kawasan pesisir pantai Sarawak.

“Saya berharap projek (penyelidikan) ini dapat dapat dipergiatkan, agar dapat memberi manfaat bukan sahaja kepada masyarakat tempatan Sarawak, tetapi dapat dikongsikan dan dikomersilkan di peringkat antarabangsa,” katanya ketika menyampaikan ijazah kepada graduan di sidang kedua Majlis Konvokesyen Unimas Ke-22, di Arena Gemilang, Dewan Tuanku Abdul Rahman (DeTAR PUTRA), Kampus Unimas, di sini, hari ini.


Abang Johari yang juga Pro-Canselor Unimas malahan mendedahkan bulan lepas beliau sendiri telah melawat ke Makmal Penyahgaraman Air Unimas yang melakukan penyelidikan bidang penyahgaraman air masin untuk menghasilkan air tawar.

Selain itu, beliau juga berharap Unimas dapat memperluaskan lagi projek Mikro Hidro Elektriknya ke lebih banyak kawasan pendalaman negeri ini, terutama di kampung yang belum menerima bekalan elektrik dari talian grid.

“Saya berharap projek ini dapat diteruskan di kawasan pendalaman yang lain, demi manfaat penduduk di kawasan luar bandar, sebelum projek (bekalan) elektrik dapat dihubungkan di kawasan terbabit,” katanya.

Tambah Abang Johari, ketika ini fokus utama kerajaan negeri ialah mengatasi masalah bekalan air bersih dan tenaga elektrik di kawasan pendalaman Sarawak. Beliau memuji Unimas kerana terbabit membantu masyarakat luar bandar menikmati kemudahan asas itu yang belum dapat disalurkan kerajaan.

“Saya juga menaruh harapan yang tinggi kepada ahli akademik Unimas, agar dapat mempergiatkan lagi aktiviti penyelidikan yang dapat memberi impak kepada kesejahteraan hidup rakyat di negeri ini,” katanya.

Keseluruhannya seramai 1,731 graduan Unimas menerima ijazah masing-masing pada sidang kedua dan ketiga konvokesyen terbabit hari ini dengan sidang kedua membabitkan seramai 517 graduan Fakuliti Sains Kognitif dan Pembangunan
Manusia (FSKPM) dan seramai 375 graduan Fakuliti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM)

Manakala sidang ketiga disempurnakan Pro Canselor Unimas dan bekas Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang dan membabitkan seramai 623 graduan Fakuliti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) dan seramai 160 graduan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK)serta 56 graduan dari Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK). — DayakDaily