Unimas sumbang 77 komputer riba bersama pelan data kepada pelajar

Sulong (empat dari kiri) melancarkan Pelan Strategik 2021-2025 Unimas dan Inisiatif Kelestarian Universiti. Turut kelihatan Mohamad Kadim (lima dari kanan).

Oleh Chris Bishop

KOTA SAMARAHAN, 19 Okt: Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) menyumbang 77 komputer riba bersama pelan data untuk tempoh tiga bulan kepada 77 pelajarnya yang kini mengikuti pembelajaran secara atas talian.

Naib Canselor UNIMAS Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi berkata, sumbangan itu dilaksanakan melalui Skim Unimas Prihatin dan khusus untuk pelajar yang memerlukan.


“Kita peka kepada perkara yang berlaku di luar kerana tidak mahu ada di kalangan pelajar tercicir khususnya dari golongan kurang berkemampuan yang berada di kampung halaman masing-masing.

“Mereka mungkin tiada liputan Internet dan kalau ada pun, mereka mungkin tiada peralatan.

“Pada minggu lepas kita telah menghulurkan sumbangan melalui Skim Unimas Prihatin iaitu sebanyak 77 komputer riba bersama pelan data untuk tempoh tiga bulan kepada pelajar yang sangat memerlukan,” katanya pada satu sidang media di kampus Unimas di sini, hari ini.

Terdahulu beliau telah menghadiri Majlis Pelancaran Pelan Strategik 2021-2025 Unimas dan Inisiatif Kelestarian Universiti di Arena Gemilang, DeTAR Putra Unimas.

Majlis pelancaran telah disempurnakan Pengerusi Lembaga Pengarah Unimas Tan Sri Datuk Seri Panglima Sulong Matjeraie.

Mohamad Kadim (dua dari kanan) pada sidang media di Unimas hari ini (19 Okt 2020).

Menurut Mohamad Kadim, hampir 15,000 pelajar Unimas kini mengikuti pembelajaran secara atas talian dan hanya 1,600 sahaja yang berada di dalam kampus sebagai langkah mengawal penularan wabak Covid-19.

Katanya, mereka yang berada di dalam kampus merupakan pelajar-pelajar tahun akhir program perubatan, kejururawatan, kejuruteraan, alam bina dan program kaunseling.

“Pelajar-pelajar ini perlu berada di kampus untuk melakukan interaksi fizikal dengan pensyarah dan ini tidak dapat dielakkan.

“Namun, kita telah mengambil tindakan pencegahan dengan prosedur operasi ‘standard’ (SOP) yang telah Unimas bangunkan,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Mohamad Kadim juga memaklumkan bahawa semua 1,600 pelajar yang berada di kampus diberikan bantuan kewangan RM100 secara ‘one-off’ dan pengecualian yuran penginapan untuk bulan Oktober. — DayakDaily