Dadah pek minuman susu kultur membimbangkan

Gambar fail dadah yang dirampas Polis Sarawak termasuk dalam jus yang dibungkus semula didedahkan dalam sidang media pada 4 Dis 2022. Photo credit: Polis Sarawak Facebook

KUCHING, 4 Feb: Majlis Penyalahgunaan Bahan Malaysia (MASAC) mahukan agensi penguatkuasa dibekalkan dengan ilmu dan peralatan baharu untuk mengesan pengedar dadah jenis minuman di pek semula.

Setiausaha Agungnya Raja Azizan Suhaimi berkata, MASAC ada menerima beberapa maklumat dari pengguna dadah pek minuman susu kultur ini yang panik.

Katanya, minuman dadah mereka yang di simpan di dalam peti sejuk telah di salah ambil dan diminum oleh anak-anak mereka yang berumur 2 hingga 5 tahun.


“Tambah lebih merisaukan lagi, pengguna dadah jenis ini, tidak membawa kanak-kanak tersebut ke klinik untuk rawatan lanjut.

“Kerana khuatir boleh ditangkap pihak berkuasa kerana cuai hingga anak termakan dadah dari jenis campuran susu kultur berjenama terkenal ini yang menarik dari sudut warna dan pembungkusannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Raja Azizan, fenomena dadah di campur dalam minuman ini amat bahaya kerana ia dipercayai akan mula menular penggunaannya di kalangan pelajar sekolah.

Menurut beliau, kerana rupa parasnya yang biasa adalah sukar bagi pihak berkuasa menjalankan penguatkuasaan tanpa maklumat yang jelas kerana pembawa minuman dadah ini, dilihat biasa dan tidak mencurigakan.

Dalam pada itu, Raja Azizan mengucapkan jutaan tahniah di atas kejayaan Polis Sarawak yang telah membongkarkan taktik membungkus semula dadah dalam bekas jus buah-buahan yang kini menjadi modus operandi terbaharu.

Ia dikesan digunakan oleh pengedar dadah di Sarawak bagi mengelakkan kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa. — DayakDaily