RM100 juta untuk kerja naik taraf Kompleks ICQS Tebedu

Felicia semasa lawatan kerja ke Kompleks ICQS Tebedu. Foto credit: Ukas

KUCHING, 4 Feb: Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM100 juta bagi melaksanakan kerja menaik taraf Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Tebedu, kata Pengarah Unit Pemantauan Pelaksanaan Negeri (SIMU) Felicia Tan.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), kerja menaik taraf tersebut merangkumi blok pentadbiran, blok operasi kawalan keluar masuk, kantin, rumah pam dan tangki air.

“Ia juga melibatkan kerja naik taraf dewan serbaguna, kuarters sedia ada, rumah sampah dan Surau Darul Sa’adah,” kata Felicia semasa lawatan kerja ke kompleks ICQS di Tebedu, Serian pada Jumaat.

Dalam pada itu, tarikh permulaan kerja menaik taraf hanya akan diketahui pada mesyuarat yang akan datang.

Untuk rekod, Kompleks ICQS Tebedu terletak kira-kira 110km dari Bandar Kuching melalui Jalan Serian – Tebedu. — DayakDaily