466 penagih dadah dikesan di Sarawak tahun lepas

Wan Madihi (tengah) membaca ikrar bebas rasuah bersama kakitangan AADK di Perhimpunan AADK Sarawak 2018.

KUCHING, Jan 22: Agensi Anti-Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri Sarawak mengesan seramai 466 penagih dadah di seluruh negeri ini melalui operasinya secara besaran sepanjang tahun lepas.

Pengarah AADK Sarawak, Wan Madihi Wan Salleh berkata hampir kesemua 466 individu terbabit didapati positif menagih dadah jenis syabu selepas menjalani ujian air kencing dan mereka telah dihantar agensi iti ke pusat pemulihan dadah.

“Kami mampu mengesan sehingga seramai 466 individu yang terbabit gejala penyalahgunaan dadah sepanjang tahun lepas berbanding seramai 143 individu itu pada 2016 dan seramai 166 individu itu pada 2015 berikutan mengerakkan kesemua pejabat AADK di negeri ini bagi menjalankan operasi secara besaran,” katanya selepas merasmikan Perhimpunan AADK Negeri Sarawak 2018, di Auditorium Bangunan Sultan Iskandar, Jalan Simpang Tiga, di sini, hari ini.


Wan Madihi berkata, disamping itu, AADK Sarawak pada tahun lepas juga mula melakukan operasi mengesan penagih dadah di kawasan perairan negeri ini bersama Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) dan mengadakan operasi secara serta merta sekiranya ada menerima aduan.

Wan Madihi (duduk) menandatangani ikrar bebas rasuah selepas membacanya bersama kakitangan kakitangan AADK di Perhimpunan AADK Sarawak 2018.

Katanya keseluruhannya sebanyak 305 operasi mengesan penagih dadah telah dilakukan agensi itu sepanjang tahun lepas di seluruh negeri ini dan memilih tiga kawasan tumpuan atau kawasan Perangi Dadah Habis-Habisan (PDH) 2.0 iaitu di Samariang dan Gita di bandaraya ini serta di Sri Aman.

“Manakala bagi tahun ini kita akan terus mengiatkan lagi usaha mengadakan operasi mengesan penagih dadah dan memilih sebanyak tujuh kawasan PDH 3.0 yang akan diberikan tumpuan di negeri ini,” katanya.

Tujuh kawasan PDH 3.0 terbabit ialah di Bandar Kuching (Samariang, Tabuan, Tebingan Sungai Sarawak), Gita ( Matang/ Batu Kawah), Sri Aman (Hulu, Hilir dan Pasir Panas), Samarahan, Miri /Lawas (Tudan, Bekenu, Sundar, Miri/Limbang), Bintulu (Jepak, Assyakirin, Bandar Bintulu, Kampung Sebiew Jalan Bintulu/ Miri), Sibu/Sarikei (Kampung Dato, Kampung Nangka, Sibu Jaya, Kampung Pahlawan). — DayakDaily