Ketua masyakarat digesa memperkukuhkan hubungan dengan jentera kerajaan

Penguang (empat dari kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada Robert Pasang.
Advertisement

MARUDI, Jan 22: Semua ketua masyarakat atau kaum di konstituensi Marudi diminta agar memperkukuhkan hubungan mereka dengan jentera kerajaan bagi memudahkan pelaksanaan projek pembangunan di kawasan masing-masing.

Menteri Muda Kerajaan Tempatan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi, Datu Dr Penguang Manggil berkata, jalinan kerjasama itu penting kerana ketua masyarakat selaku pentadbir komuniti setempat adalah orang tengah kepada kerajaan dan rakyat.

Jelas beliau, ketua masyarakat juga berperanan sebagai pemain utama dalam menerangkan setiap pelan pembangunan kerajaan kepada penduduk di bawah jagaan mereka.

Advertisement

“Jadi, saya berharap semua ketua masyarakat di kawasan Marudi supaya menyedari bahawa sekiranya mereka gagal menyakinkan penduduk mengenai dasar kerajaan, maka adalah sukar untuk kerajaan melaksanakan projek pembangunan di kawasan mereka.

“Sebagai pemimpin barisan depan, ketua-ketua masyarakat perlu menjalankan tugas dengan mengutamakan kepentingan rakyat kerana itu adalah tugas hakiki mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Majlis Penyerahan Sijil Pelantikan Baru dan Sijil Perlanjutan Ketua-ketua Masyarakat dan Kaum Daerah Beluru di Rumah Panjang Jarau @ Jayrome Ponyang di Long Tabing, Tinjar, semalam.

Turut hadir ialah Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Alexander Asing Sadai, Residen Bahagian Miri Sherrina Hussain, Pengarah Pendakwaan Negeri Sabah, Jabatan Peguam Negara, Robert Pasang Alam, Pegawai Daerah Beluru Mohd Rashdan Hazemi serta Pengerusi Majlis Daerah Marudi Edward Mendai.

Dalam majlis sama, Robert Pasang turut memberi penerangan berkenaan cadangan pengiktirafan Pulau Galau dan Pemakai Menua di dalam undang-undang tanah (NCR) oleh kerajaan, serta berkenaan rundingan Malaysia Agreement 1963.

Sementara itu, Penguang memberitahu, semua ketua masyarakat atau kaum juga perlu sentiasa menjaga imej dan keterampilan diri supaya bersesuaian dengan peranan dan tanggungjawab mereka sebagai wakil kerajaan di peringkat kampung.

Katanya, mereka juga hendaklah sentiasa memahami tugas masing-masing tanpa melangkaui kerja-kerja pihak lain.

“Jika ada masalah yang bangkit mengenai sesuatu isu atau masalah, mereka perlu merujuk kepada pihak atasan yang seterusnya akan menyelesaikan sesuatu masalah itu untuk kebaikan bersama,” ujarnya lagi. — DayakDaily

Advertisement