398 dari Kpg Empila dan Kpg Pangkalan Kuap menerima surat hakmilik tanah

Awang Tengah (dua dari kiri) bersama Rubiah Wang (tiga dari kiri) dan Mohammad Ali (kiri) menyampaikan surat hak milik tanah bagi kampung tradisi kepada penduduk Kampung Kampung Pangkalan Kuap di Dewan Suarah Kota Samarahan.

KOTA SAMARAHAN, April 30: Seramai 414 surat hakmilik tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri bagi Kampung Tradisi telah diserahkan kepada 398 orang penerima dari Kampung Empila dan Kampung Pangkalan Kuap di Dewan Suarah Kota Samarahan, di sini, hari ini.

Surat hakmilik tanah terbabit telah disampaikan Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dengan majlis terbabit juga dihadiri calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kota Samarahan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan Datuk Seri Mohammad Ali Mahmud dan Penguasa Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Samarahan Abang Jamallidon Abang Ullie.

Awang Tengah berkata penyerahan surat hakmilik tanah bagi Kampung Tradisi terbabit membuktikan kerajaan mengiktiraf dan menjamin hakmilik sepenuhnya ke atas lot kediaman kampung yang telah lama wujud di negeri ini.


Katanya melalui program pengukuran tanah itu, sempadan tanah menjadi jelas bagi mengelakkan pencerobohan dan pertikaian malah juga menepis dakwaan yang mengatakan penduduk kampung menjadi setinggan di tanah sendiri.

“Setakat ini sebanyak 350 kampung yang melibatkan 47,532 lot telah dikeluarkan suratmilik tanah ini di seluruh Sarawak menerusi program ini. Di bahagian Samarahan pula 48 kampung dengan 5,212 lot telah dikeluarkan surat hakmilik tanah terbabit,” katanya.

Di majlis itu juga, beliau menyampaikan sebanyak 14 surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri kepada seramai 14 orang pemilik tanah hak adat (ncr) bagi kawasan Tanjung Parang.

Katanya keistimewaan surat hak milik tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri ialah pemilik tanah tidak perlu membayar premium, cukai tanah dan yang lain dengan tempoh pegangan surat terbabit adalah kekal selamanya. — DayakDaily