Warga tempatan diupah RM1,800 angkut PATI

Suspek ditangkap dalam cubaan menyeludup masuk PATI.

KUCHING, 21 Sept: Seorang lelaki tempatan ditangkap dalam cubaannya menyeludup masuk sembilan pendatang asing tanpa izin di Melikin, Serian.

Komander Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak SAC Saini Bongkek berkata suspek ditangkap dalam Op Benteng Covid oleh Batalion 11 PGA sekitar jam 8.21 malam 19 September lalu.

Katanya, suspek dalam operasi tersebut memandu sebuah van dan membawa penumpang lapan lelaki dan seorang wanita yang kesemuanya warga Indonesia.


“Siasatan mendapati lelaki tempatan terbabit bersekongkol dengan seorang lagi lelaki warga Indonesia dipercayai tekong darat dengan membawa lapan lagi warga Indonesia masuk ke negeri ini melalui laluan yang tidak sah.

“Siasatan lanjut mendapati kesemua wargan Indonesia terbabit tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Jelasnya juga, suspek berperanan sebagai ‘transporter’ iaitu mengambil dan menghantar PATI yang ditetapkan dengan bayaran sekitar RM1,800 bagi satu trip.

“Bayaran upah juga bergantung kepada jarak ke destinasi dengan membawa PATI menyelinap masik ke sempadan negara melalui pelbagai cara termasuklah berjalan kaki dan menaiki kenderaan,” katanya.

Siasatan juga mendapati sindiket ini sering menukar modus operandinya.

Kesemua suspek kemudian ditahan dan van yang digunakan mereka juga dirampas untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 15 Akta ATIPSOM 2007 dan Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959(Akta 155).

Siasatan juga dijalankan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988(Akta 342).

Difahamkan juga, Bahagian Kuching, Serian dan Sri Aman merupakan antara lokasi panas kemasukan PATI disebabkan beberapa faktor.

“Antara faktornya, adalah permintaan tinggi dan peluang pekerjaan yang luas dalam sektor pembuatan, perladangan dan pembinaan serta lain-lain faktor penarik yang boleh menjamkn kehidupan selesa dan selamat kepada mereka,” katanya. ā€” DayakDaily