Remaja perempuan maut kemalangan kendiri di Senadin

Lokasi kejadian.

Brad Rantayy

MIRI, 21 Sept: Seorang remaja perempuan maut dalam satu kemalangan kendiri di Jalan Maigold berhampiran sebuah pasar raya di Senadin petang Isnin.

Ketua Siasatan dan Penguatkuasaan Traffik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata, kemalangan berlaku sekitar jam 6.30 petang selepas mangsa, berusia 16 tahun itu gagal mengawal motosikal Honda yang ditungganinya sebelum terbabas dan menyebabkan mangsa terpelanting ke tengah jalan.


Akibat daripada kemalangan tersebut penunggang mengalami kecederaan di bahagian kepala dan telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan pada jam lebih kurang 6.59 petang, ujar Alexson.

Siasatan awal mendapati motosikal tersebut datang dari arah Food Arena Restauran menghala ke rumah sewa berhampiran tempat kejadian.

“Apabila sampai di tempat kejadian, motosikal mangsa disyaki gagal dikawal lalu terbabas menyebabkan penunggang terpelanting ke tengah jalan,” jelasnya.

Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Miri untuk proses bedah siasat.

Kemalangan disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — DayakDaily