PGA rampas rokok disyaki diseludup bernilai cecah RM5 juta

Rokok-rokok yang dirampas dalam operasi tersebut.

KUCHING, 22 Mac: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak merampas 13,287 kartun rokok pelbagai jenama bernilai lebih RM4.9 juta semalam.

Komander PGA Briged Sarawak SAC Dr Che Ghazali Che Awang berkata operasi dijalankan oleh cawangan risik di dua premis berasingan di Kuching dan Matang disyaki tempat penyimpanan rokok belum lulus cukai Kastam.

Katanya, dalam serbuan tersebut turut ditangkap seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun.


“Di dalam dua siri serbuan yang telah dijalankan, pasukan serbuan telah berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan berumur 27 tahun dan hasil pemeriksaan lanjut telah menemukan sebanyak 12,782 kartun (2,556,400 batang) rokok putih, dan 505 kartun (80,800 batang) rokok kretek pelbagai jenama yang disimpan di dalam satu sebuah stor kedai dan sebuah kenderaan.

“Anggaran nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM5,098,760 (termasuk cukai) merangkumi nilai rampasan rokok sebanyak RM4,958,760.00 dan sebuah kenderaan bernilai RM140,000,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kuching dan Padawan untuk tindakan dan siasatan lanjut.

Kesalahan di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967. — DayakDaily