PGA rampas rokok seludup bernilai RM129,738 di Pusa

Gambar komposit semasa operasi tersebut.

PUSA, 9 Mac: Sebuah rumah kosong yang dijadikan stor penyimpanan pelbagai jenis rokok seludup dianggarkan bernilai RM129,738 diserbu semalam (8 Mac).

Difahamkan serbuan telah dilakukan oleh sepasukan polis dari Kompeni C Batalion 10 Pasukan Gerakan Am (PGA) Sri Aman sekitar jam 1 petang hasil daripada maklumat dan risikan.

Menurut PGA Briged Sarawak melalui laman Facebook mereka, pasukan operasi telah melakukan intipan selama dua jam di lokasi sebelum menyerbu masuk ke dalam premis.


“Hasil pemeriksaan menjumpai lebih kurang 18 kota rokok pelbagai jenana yang disyaki barangan tanpa cukai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

“Rokok yang ditemui ialah 98,000 batang rokok jenama Rave, 10,000 batang rokok Longbo, 7,000 batang rokok Saigon Merah, 7,800 batang rokok Saigon Hijau, 16,640 batang rokok L.A merah , 5,440 batang rokok L.A mentol, 11,200 batang rokok Wild Mild dan 11,000 batang rokok Bold.

“Jumlah keseluruhan rampasan rokok termasuk cukai dianggarkan bernilai RM129,738,” katanya.

Kesemua rampasan telah diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Betong untuk tindakan dan siasatan lanjut.

“Siasatan awal mendapati rumah kosong tersebut digunakan untuk menyimpan stok rokok bagi mengaburi pihak berkuasa.

“Hasil maklumat awal juga, rokok-rokok tersebut adalah untuk pasaran di sekitar kawasan tersebut,” katanya.

Siasatan lanjut ke dijalankan di bawah Seksyen 135(1) (d) Akta Kastam 1967. ā€” DayakDaily