Wanita PBB teruskan persiapan menghadapi pilihan raya

Fatimah (barisan depan, tengah) merakamkan kenangan bersama Ahli Majlis Tertinggi Wanita PBB pada pertemuan di Ibu Pejabat PBB semalam (Okt 27, 2020).

KUCHING, 27 Okt: Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) akan terus mengadakan persiapan menghadapi pilihanraya negeri.

Ketuanya Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, ia diteruskan setelah Yang di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billal Shah memutuskan bahawa darurat tidak akan dilaksanakan.

“Dalam masa yang sama pergerakan wanita digesa untuk terus mematuhi prosedur operasi ‘standard’ (SOP) yang telah ditetapkan apabila mengadakan aktiviti,” katanya menerusi satu kenyataan semalam.

Terdahulu beliau telah menghadiri mesyuarat bersama Ahli Majlis Tertinggi Wanita (MTW) PBB di Ibu Pejabat PBB di Jalan Bako di sini.

Tambah Fatimah yang juga Naib Presiden PBB, jentera pergerakan Wanita PBB telah diperkasakan melalui pelbagai program termasuk Sarawak Kita Empun (SKE), Randau Wanita PBB, Ziarah dan Zoom Meeting bersama ketua-ketua wanita.

Katanya, dasar dan polisi Gabungan Parti Sarawak (GPS) terus disebar luas termasuk inisiatif-inisiatif Ketua Menteri serta kejayaan GPS dalam merancakkan pembangunan negeri terutama sekali di luar bandar.

“Dengan itu, rakyat digesa untuk menyokong GPS bagi memastikan hak Sarawak terus diutamakan.

“Pembangunan infrastruktur terus diperkasakan, kestabilan politik, keamanan dan keharmonian dalam kalangan penduduk pelbagai kaum, pelbagai agama terus dimantapkan,” katanya.

Dalam pada itu Fatimah mengingatkan seluruh jentera parti PBB (Bapa, Wanita, dan Pemuda) harus terus bekerja keras supaya GPS dapat menang dengan majoriti besar.

Ujar beliau, GPS memerlukan mandat besar daripada rakyat demi memastikan agenda pembangunan untuk membawa Sarawak menjadi negeri termaju di Malaysia menjelang tahun 2030 akan tercapai.

Tambah beliau, MTW PBB juga telah menghasilkan naratif dan infografik yang merupakan bahan persiapan pilihanraya untuk diagih kepada semua ketua wanita di 82 cawangan dalam mesyuarat berkenaan. — DayakDaily