Wabak coronavirus: Sarawak ketatkan kawalan di pintu masuk

Abang Johari (duduk tiga dari kiri) pada sidang media di Kuching.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, JAN 27: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg hari ini mengarahkan kawalan ketat dipertingkatkan di semua lapangan terbang berikutan penularan wabak coronavirus.

Selain lapangan terbang, beliau juga mahukan kawalan ketat turut dipertingkatkan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Sungai Tujuh di Miri.

“Saya bimbang kerana ramai pelancong dari China datang ke Sabah menggunakan penerbangan yang disewa.

“Mereka (pelancong China) boleh memasuki Sarawak melalui ICQS Sungai Tujuh maka kita kena tingkatkan kawalan di Miri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media setelah menghadiri Program Ju-Berambeh Makan Durian di Perkarangan Surau Darul Qarar, Satok di sini, hari ini.

Kawalan ketat di pintu masuk Sarawak diambil berikutan penularan wabak coronavirus yang melanda wilayah Wuhan, China yang setakat semalam telah mengakibatkan 56 kematian.

Berhubung perkara berkaitan, Abang Johari turut mengarahkan Jabatan Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) yang dipengerusikan Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah bermesyuarat pagi ini.

Mesyuarat turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Jaul Samion dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Dr Sim Kui Hian.

“Saya telah arahkan jawatankuasa bencana bermesyuarat dan kita mesti menangani masalah ini dari pihak kita.

“Kita ketatkan kawalan di lapangan terbang dan menyediakan peruntukkan.

“Kalau ada keperluan untuk melakukan kuarantin, kita mesti cari tempat untuk melakukan kuarantin dan biliknya mestilah bersih,” katanya.

Disamping itu, Abang Johari menasihati sesiapa yang ada urusan kerja ke China untuk menangguhkan penerbangan mereka buat sementara waktu.

Tambah beliau, penularan wabak coronavirus ini tidak boleh diambil mudah kerana setakat ini tiada vaksin untuk mengubatinya. — DayakDaily