Unimas sasar meraih lebih banyak kejayaan tahun ini

Yap bersama Mohamad Kadim (tengah) dan tetamu kehormat lain merakamkan gambar bersama para penerima anugerah sempena Majlis Anugerah Gemilang Unimas 2018.

KUCHING, April 10: Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) komited dalam memajukan sektor pendidikan tinggi di Sarawak khususnya, dan Malaysia amnya agar setanding dengan universiti-universiti lain di rantau ini, sama ada dalam aspek kesarjanaan, modal insan dan pembangunan fizikal universiti.

Naib Cancelor Unimas, Prof. Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi berkata seiring dengan perkembangan revolusi perindustrain 4.0 (IR40), Unimas telah mereka bentuk semula kurikulum sedia ada, ke arah pengajaran dan pembelajaran yang bersifat Pembelajaran Abad Ke-21.

“Dalam hal ini, UNIMAS telah melangkah sedikit ke hadapan dengan melaksanakan sepenuhnya beberapa perubahan termasuklah perlaksanaan iCGPA, CeO@Faculty, MOOC, dan Translational Research.


“Dalam masa yang terdekat ini juga kita sedang berusaha ke arah perlaksanaan 2u2i, Akreditasi Pembelajaran Berasaskan Pengalaman (APEL), TVET, MYREN-X, ‘Gap Year’, ‘Jukebox Education’ dan sebagainya,” katanya pada Majlis Anugerah Gemilang Unimas 2018 yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Mary Yap Kain Ching.

Mohamad Kadim menambah kepakaran Unimas turut diperlukan bagi membantu kerajaan negeri dalam menjayakan agenda Ekonomi Digital, seperti yang dihasratkan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dalam agenda besarnya menjadikan Sarawak negeri maju menjelang 2030.

Terdahulu, beliau berkata antara kejayaan signifikan yang dikecapi Unimas adalah di mana salah seorang pensyarahnya, Syahrul Nizam Junaini telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Akademik Negara (Anugerah Pengajaran bagi Kelompok Sains Gunaan) sekali gus menjadi pengiktirafan tertinggi dalam dunia akademia di peringkat kebangsaan.

Malah, katanya Prof. Dr Balbir Singh turut diberi pengiktirafan dalam Anugerah Merdeka 2017 bagi Kategori Kesihatan, Sains dan Teknologi, di atas sumbangan cemerlangnya terhadap penemuan pada penyebab baharu malaria manusia, Plasmodium knowlesi, yang merupakan parasit yang biasanya dijumpai pada monyet.

Penemuan penyakit zoonotik yang berpotensi membawa maut ini telah mengubah pemahaman malaria dan cara jangkitan ini dirawat di negara ini serta di seluruh dunia.

Di samping itu, Mohamad Kadim berkata Projek eBario, Unimas turut menerima anugerah ‘ASEAN Leadership Award on Rural Development and Poverty Eradication’.

Manakala, katanya komitmen Unimas dalam melengkapkan penduduk luar bandar dengan kemudahan asas melalui pembangunan dan penyelidikan (R&D) telah dibuktikan sekali lagi dengan projek bekalan elektrik menggunakan sistem Mikro Hidro di Kampung Pa’ Ramapoh Atas dan Pa’ Ramapoh Bawah.

Jelas beliau, projek yang melibatkan penyelidikan secara holistik bersama beberapa fakulti ini telah diiktiraf oleh ASEAN Centre for Energy (ACE), sebuah badan bebas yang mewakili sepuluh negara Asia Tenggara dan salah satu tanggungjawab badan ini adalah untuk memastikan dasar dan program tenaga yang diperlukan adalah selaras dengan pertumbuhan ekonomi dan kelestarian alam sekitar di rantau ini.

Projek ini telah melonjakkan Unimas apabila memenangi ‘The ASEAN Best Practice for Renewable Energy Award 2017’ di Manila, Filipina pada Sept 27 tahun lepas.

“Kejayaan dan perubahan pesat Unimas ini adalah hasil usaha warganya yang amanah dalam melaksanakan tugas, cekap dalam mengurus tadbir universiti, berani dalam menghadapi cabaran, serta cekal mendepani perubahan masa depan.

“Saya menyeru kepada semua warga Unimas, agar meneruskan momentum kecemerlangan ini, dalam usaha dan upaya kita untuk menjadikan Unimas sebagai sebuah universiti contoh yang disegani dan dihormati di rantau ini,” katanya. — DayakDaily