Kerajaan pusat akan diminta mengemaskini undang-undang untuk membenarkan penggunaan teknologi bahan api hidrogen

Abang Johari (tengah) menaiki basikal yang boleh digerakkan mengunakan teknologi bahan api hidrogen selepas merasmikan ISES 2018.

KUCHING, April 10: Sarawak akan meminta kerajaan pusat mengemaskini undang-undang pengangkutan awam negara ini bagi membolehkan bas atau kenderaan pengangkutan awam lain yang mengunakan teknologi bahan api hidrogen dibenarkan digunakan atas jalan raya negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata pengangkutan awam negeri ini adalah dibawah bidang kuasa kerajaan pusat dan bukan kerajaan negeri dan ketika ini undang-undang terbabit dikuatkuasakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Malaysia perlu mengemaskini undang-undang terhadap pengangkutan awam negara ini yang dikuatkuasakan JPJ, kerana sekiranya negara ini tidak mengemaskini undang-undang itu, maka kita (Sarawak) tidak boleh mengunakan teknologi moden, kita tidak boleh mengunakan bas yang mengunakan bahan api hidrogen (atas jalan raya negeri ini),” katanya pada sidang media selepas merasmikan Sidang Kemuncak Tenaga Lestari Antarabangsa Ke-4 (ISES) 2018, di sini, hari ini.


Abang Johari (berdiri, dua dari kanan) menyaksikan wakil syarikat tempatan berkaitan teknologi hijau menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) selepas merasmikan ISES 2018.

Abang Johari berkata beliau sudah membincangkan perkara tersebut dengan Timbalan Menteri Pejabat Perdana Menteri dan Pemangku Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Senator Dato Sri Devamany S. Krishnasamy yang menghadiri sidang kemuncak terbabit.

Katanya pengemaskinian undang-undang berkenaan perlu kerana Sarawak ketika ini sedang melakukan penyelidikan menjadi pengeluar bahan api hidrogen melalui proses elektrolisis yang dapat memisahkan molekul oksigen dan hidrogen daripada sumber air.

“Kami sedang bekerjasama dengan pakar teknologi terbabit dan menjelang hujung tahun ini berharap akan memulakan projek perintis dimana kami akan mula membekalkan bahan api hidrogen itu kepada kenderaan pengangkutan awam kita,” katanya.

Katanya pada peringkat permulaan sebanyak tiga kenderaan termasuk dua bas yang mengunakan teknologi bahan api hidrogen akan menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam sekitar bandaraya ini dalam projek perintis itu.

Abang Johari berkata sekiranya projek perintis tersebut dapat dimulakan maka Sarawak seterusnya boleh menyumbang kepada permintaan dunia terhadap tenaga hijau itu yang boleh mengurangkan pelepasan karbon ke udara dan mengelakkan pemanasan global.

Di majlis perasmian tersebut, beliau juga mendedahkan yang Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) yang bakal diwujudkan kerajaan negeri di bandaraya Kuching juga dicadang mengunakan bahan api hidrogen dan sekiranya berjaya akan diperluaskan ke bahagian lain negeri ini. — DayakDaily