Undang-undang berkaitan pengembangan agama bukan Islam harus dipersetujui Sabah dan Sarawak dahulu

Parti Keadilan Rakyat logo.

KUCHING, 10 Sept: Penggubalan rang undang undang (RUU) Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam harus mendapat persetujuan daripada Sarawak dan Sabah terlebih dahulu.

Sekretariat Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak dalam satu kenyataan hari ini berkata, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama Islam) Ahmad Marzuk Shaary yang mengumumkan penggubalan RUU tersebut seharusnya faham akan taraf Sarawak dan Sabah sebagai rakan kongsi Malaya dalam kerangka pembentukan Malaysia.

“Ini bermakna apa-apa undang-undang persekutuan yang cuba digubal dan mempunyai kuatkuasa di seluruh Negara perlulah mendapat persetujuan daripada Sarawak dan Sabah sebagai rakan kongsi dalam Malaysia terlebih dahulu.

“Dengan pengumuman yang telah dibuat oleh Ahmad Marzuki, adakah ini bermakna RUU tersebut sudah pun diluluskan oleh Kabinet Kerajaan Persekutuan?” soalnya.

PKR Sarawak turut memohon penjelasan dari Ahmad Marzuk mengenai RUU tersebut yang seolah-olah cuba merencatkan atau menjadi jalan mati untuk pengembangan agama bukan Islam termasuk di Sarawak.

Parti berkenaan juga menyeru Ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) agar bersuara untuk rakyat Sarawak yang majoritinya beragama bukan Islam.

“GPS sebagai rakan di dalam Kerajaan Persekutuan sekarang akan dipertanggungjawabkan sepenuhnya apabila RUU ini diusulkan dan dibentangkan Parlimen nanti kerana kelihatan menjadi pak angguk di dalam Kerajaan Persekutuan.

“Sebenarnya, undang-undang sedia ada seperti di dalam Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan sudah cukup untuk menampung keperluan yang mungkin dihasratkan oleh Ahmad Marzuk. Jadi, mengapa perlu digubal lagi undang-undang seperti yang diumumkan?” ujarnya.

Pada 6 Sept lalu, Ahmad Marzuk dilaporkan berkata, RUU bersabit pengembangan agama bukan Islam adalah sebahagian daripada Pelan Pemerkasaan Undang-undang Syariah selama lima tahun dari 2020 hingga 2025. — DayakDaily