Allahyarham Abang Abu Bakar pemimpin yang telah mengharumkan nama Sarawak — PKR Sarawak

The late Tan Sri Abang Abu Bakar Abang Mustapha.

KUCHING, 5 Dis: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak mengucapkan salam takziah kepada keluarga Allahyarham Tan Sri Abang Abu Bakar Abang Mustapha atas pemergiannya ke rahmatullah semalam.

Dalam satu kenyataan hari ini, PKR Sarawak berkata ia kagum dengan segala perkhidmatan dan jasa Allahyarham yang mengharumkan nama Sarawak khususnya semasa menjawat jawatan-jawatan penting di beberapa kementerian sebelum ini.

“Allahyarham sudah semestinya seorang yang terkenal dengan dedikasi dalam mengukuhkan kerajaan dan membangun rakyat dalam pelbagai kapasitinya dengan penuh kerendahan hati dan fokus pada rakyat,” kata PKR Sarawak.


Jenazah bekas Menteri Pertahanan itu (Abang Abu Bakar) selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Bahagian Kuching pukul 6.30 petang semalam.

Abang Abu Bakar, 82, dilaporkan meninggal dunia pada 9.55 pagi semalam akibat komplikasi jantung di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Puan Sri Tunku Maziah Tunku Mustapha, seorang anak perempuan dan dua anak kembar lelaki.

Bekas Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu itu pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen di Negeri ini selama dua dekad bagi kawasan Paloh (1981 hingga 1990) dan Kuala Rajang (1990 sehingga 2000).

Allahyarham juga pernah berkhidmat sebagai menteri di bawah kepimpinan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bermula dengan jawatan Timbalan Menteri Pertahanan sehinggalah sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri dari 1990 hingga 1999, sebelum dilantik menerajui Kementerian Pertahanan hingga 2003. — DayakDaily