Tindakan segera kawal pergerakan bot ekpress dan orang ramai di Kapit akan diambil

Screenshots from the viral video clip of passengers rushing in and out of express boats.

KUCHING, 29 MEI: Tindakan segera dan sewajarnya harus diambil bagi mengawal orang awam yang dikatakan ingkar dan pulang ke kampung halaman di Kapit menggunakan bot ekspres.

Menurut MP Kapit Dato Sri Alexander Nanta Linggi, pergerakan orang ramai itu telah menyebabkan kesesakan di jeti Kapit seperti yang tular baru-baru ini dan keadaan itu melanggar standard operasi prosedur(SOP) yang ditetapkan.

“Saya(Nanta) turut mengambil tanggungjawab untuk melindungi penduduk-penduduk di kawasan saya.


“Justeru saya akan segera berbincang dengan Kerajaan Negeri untuk melihat tindakan yang sewajarnya yang boleh diambil berkaitan perkhidmatan bot ekspres ke Kapit.

“Malah, saya menyokong sebarang usaha untuk mengawal frekuensi perjalanan bot ke Kapit menjelang sambutan Hari Gawai selain meminta pihak berkuasa termasuk polis untuk menggandakan operasi pematuhan SOP di terminal bot dan di dalam bot,’katanya pada kenyataan hari ini.

Nanta juga setuju dan menyokong gesaan Timbalan Ketua Menteri Tan Sri James Masing untuk menghentikan perkhidmatan bot ekspres buat sementara waktu bagi memastikan keselamatan orang ramai di Bahagian Kapit.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna(KPDNHEP) berkata, situasi kesesakan di jeti itu sangat membimbangkan berikutan penularan wabak Covid-19 yang semakin serius di seluruh negara ketika ini.

Katanya, Kapit yang sebelum ini diletakkan sebagai zon hijau juga telah merekodkan angka jangkitan Covid-19 setakat ini sebanyak 4,257 kes.

Jelas beliau, sambutan Hari Raya Aidilfitri yang lepas telah menyumbang kepada peningkatan kes yang mendadak dengan 24 kluster sambutan Aidilfitri telah dikenalpasti akibat daripada aktiviti rentas daerah dan negeri.

Dato Sri Alexander Nanta Linggi

“Ini berlaku disebabkan sikap kurang bertanggungjawab sesetengah individu yang mengambil kesempatan pulang ke kampung halaman untuk berhari raya bersama keluarga.

“Ketika memikirkan keseronokan untuk bersama keluarga, mereka lupa bahawa tindakan itu boleh membahayakan ibu bapa dan keluarga di kampung kerana berisiko membawa bersama virus Covid-19 dan seterusnya menjadi pencetus kluster baharu.

“Inilah yang dibimbangkan akan terus terjadi sekiranya rakyat masih berdegil untuk pulang ke kampung bagi sambutan Hari Gawai pula,” ujar beliau.

Menurut Nanta lagi,  larangan kerajaan bukan untuk suka-suka sebaliknya berpandukan fakta dan penilaian risiko oleh pakar kesihatan dan semua pihak yang berkepentingan.

Tambah beliau, Malaysia kini bukan sahaja berhadapan dengan ledakan kes harian baharu Covid-19 yang tinggi sehingga melebihi 8,000 kes, tapi juga terpaksa berperang dengan varian baharu yang lebih ganas dan mampu mencetuskan kadar jangkitan serta kematian yang lebih tinggi.

“Situasi yang getir ketika ini memerlukan kerjasama dan pengorbanan semua pihak.

“Dengan bilangan kes dan kadar jangkitan ketika ini, sanggupkah kita membayangkan menjadi punca ahli keluarga terutama ibu dan bapa, adik beradik serta orang-orang kampung dijangkiti Covid-19 hanya disebabkan kedegilan kita pulang ke kampung.

“Saya memahami betapa pentingnya tradisi berkumpul bersama ahli keluarga di musim-musim perayaan ini. Tetapi saya merayu kepada semua terutamanya penduduk Kapit untuk mematuhi segala arahan yang telah dikeluarkan oleh Kerajaan.’katanya. — DayakDaily