Amalkan norma baharu di rumah panjang, kata Mawan

Mawan (kiri) menyerahkan poster ‘Norma Baru Pengidup Ba Rumah Panjai’ kepada salah seorang ketua kaum.

KUCHING, 29 MEI: ADUN Pakan Tan Sri William Mawan Ikom berkata budaya kehidupan yang diamalkan di rumah panjang sebelum ini perlu diubah mengikut norma baharu semasa pandemik Covid-19.

Memetik laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak(Ukas), Mawan yakin mempraktikan norma baharu adalah penting untuk mengurangkan jangkitan wabak Covid-19 di kawasan pedalaman.

“Sambutan Gawai Dayak pada tahun ini perlulah berlandaskan prosedur operasi standard(SOP) yang diwartakan demi untuk kebaikan diri, keluarga dan masyarakat di Pakan,’katanya.

Beliau berkata demikian di Bengkel Polis Komuniti Pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat(PKPB) di Pakan semalam.


Justeru, Mawan menggesa semua ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) di Daerah Pakan agar terus aktif dalam menyampaikan maklumat dan melaksanakan norma baharu kehidupan di rumah panjang sebagai langkah memutuskan jangkitan Covid-19.

Beliau turut menyeru masyarakat untuk mengambil suntikan vaksin mengikut jadual ditetapkan.

Seramai 50 orang KMKK dari DUN Pakan menghadiri bengkel berkenaan yang dianjurkan oleh Pejabat Daerah Pakan bertujuan menerangkan SOP sambutan Hari Gawai di rumah-rumah panjang.

Pada bengkel itu, Mawan juga menyerahkan poster ‘Norma Baru Pengidup Ba Rumah Panjai’ kepada KMKK di Daerah Pakan untuk diedarkan kepada penduduk-penduduk di rumah panjang.

Bengkel tersebut merangkumi lima sesi taklimat yang disampaikan pegawai-pegawai dari Pejabat Daerah Pakan, Pejabat Kesihatan Julau, Polis Diraja Malaysia Daerah Julau, Majlis Daerah Mearadong Julau dan RELA Daerah Julau. — DayakDaily