Tanah untuk Sekolah-Sekolah Menengah Chung Hua No. 1, No.3, dan No.4 sudah dikenalpasti

Abang Johari (duduk tengah) kelihatan bersama pengunjung yang lain ketika mengadakan kunjungan Tahun Baru Cina ke rumah Wee (duduk tiga dari kanan).

KUCHING Feb 17: Kerajaan negeri sudah mengenalpasti sebidang tanah bagi diberikan kepada Tabung Amanah Kebajikan Sekolah-Sekolah Menengah Chung Hua No. 1, No.3, dan No.4 Kuching supaya dapat digunakan sekolah aliran cina terbabit menjana pendapatan berterusan.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata sebelum ini beliau dan Allahyarham bekas Ketua Menteri Pehin Sri Adenan Satem telah berusaha membantu sekolah terbabit bagi mendapatkan tanah berkenaan.

“Jadi saya sudah dapat mengenalpasti sebidang tanah; saya akan memproses penyerahannya kepada Tabung Amanah Kebajikan (Sekolah-Sekolah Menengah Chung Hua No. 1, No. 3, dan No. 4 Kuching) selepas Tahun Baru Cina ini,” katanya ketika mengadakan kunjungan Tahun Baru Cina ke rumah Dato Richard Wee, di Taman Liong Seng, di sini, hari ini.


Abang Johari berkata tanah terbabit adalah untuk menjalankan aktiviti menjana pendapatan yang berterusan kepada sekolah-sekolah itu supaya dapat meneruskan pendidikan aliran cina di bandaraya ini.

Sementara itu, pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Sekolah-Sekolah Menengah Chung Hua No.1, No.3, dan No. 4 Kuching Wee berkata antara tanah yang dicadangkan pihaknya ialah satu di kawasan ladang di Tatau, Bintulu dan kawasan tanah lain di kawasan komersil negeri ini.

“Saya memberitahu kepada Ketua Menteri yang kami lebih cenderung mahukan tanah di kawasan perladangan itu dan dimaklumkan beliau akan memuktamatkanya selepas Tahun Baru Cina ini,” katanya.

Wee berkata selepas ini ahli lembaga Tabung Amanah Kebajikan Sekolah-Sekolah Menengah Chung Hua No. 1, No. 3, dan No. 4 Kuching akan berbincang bersama selepas Tahun Baru Cina ini bagi memuktamatkan pemilihan tanah terbabit dan membuat pertemuan dengan Ketua Menteri bagi membuat permohonan mendapatkannya tanah terbabit dari kerajaan negeri. — DayakDaily