Empat unit kedai musnah terbakar di Lawas

Anggota bomba berusaha melakukan kerja-kerja pemadaman kebakaran.

LAWAS, Feb 18: Sebanyak empat unit kedai di Jalan Datu Pengiran Haji Mat Husin di sini musnah dalam satu kejadian kebakaran, malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lawas, PPgB [email protected] Hussin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada pukul 9 malam.

Katanya, sejurus menerima laporan insiden, sepasukan lapan anggota bomba telah dikerahkan ke lokasi kejadian untuk melakukan kerja-kerja pemadaman kebakaran.

“Sembilan anggota bomba yang ‘off duty’ turut bergegas ke lokasi untuk membantu pasukan sedia ada.

“Sejurus tiba, anggota bomba mendapati api sedang marak membakar bangunan kedai di situ,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Zaki memberitahu, pasukan bomba berjaya mengawal api untuk terus merebak ke kedai yang bersebelahan dengan membuat ‘firebreak’.

Katanya, operasi pemadaman juga turut dibantu dengan menggunakan jentera ‘turntable ladder’ pihak Sesco.

“Api berjaya dikawal pada pukul 10.07 malam. Kejadian itu telah mengakibatkan empat daripada 10 lot kedai di situ terbakar.

“Buat masa ini, pihak bomba masih menyiasat punca kebakaran dan jumlah kerugian akibat kebakaran itu,” ujarnya lagi. — DayakDaily