‘Pemimpin yang sudah bersara sepatutnya menikmati hidup sebagai pesara’

Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud (tengah) bersama Dr Chan (kiri) dan pengunjung lain menggaul 'yee sang' ketika kunjungan Tahun Baru Cina di kediaman bekas Timbalan Ketua Menteri itu.

KUCHING, Feb 17: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri George Chan Hong Nam meminta pemimpin negara ini yang telah bersara dan berusia supaya menikmati kehidupan sebaik-baiknya dan tidak berusaha kembali menjadi pemimpin negara ini semula.

“Semua perkara ada waktu dan tempatnya; bila waktu kita sudah tamat, kita tidak sepatutnya cuba kembali ke waktu itu, ianya sudah berlalu,” katanya ketika menyambut Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud ke rumahnya di Petra Jaya, di sini, semalam.

Dr Chan berkata demikian setelah diminta mengulas mengenai dakwaan yang Tun Dr Mahathir Mohamad mahu kembali menjadi Perdana Menteri negara ini.


Beliau berkata ini kerana cara pemikiran pemimpin dahulu mungkin banyak perbezaannya dengan pemikiran rakyat di peringkat akar umbi ketika ini dan sebaiknya ahli politik yang sudah lama memimpin perlu belajar melepaskan jawatan mereka apabila sudah sampai masanya.

“Beliau (Dr Mahathir) sudah banyak melakukan sumbangan kepada negara ini, sudah tiba masanya beliau menikmati kehidupan ini dengan persaraanya,” katanya.

Dr Chan yang juga bekas Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) berkata sebagai bekas pemimpin negeri ini yang sudah bersara dan ketika ini berusia 81 tahun, beliau sedang menikmati kehidupannya dengan banyak menghabiskan masa bermain golf.

“Saya juga sedang berusaha menulis buku menceritakan pengalaman berpolitik, bagaimana saya melihat sesuatu perkara ketika mula menceburi politik, ketika zaman kemuncak berpolitik dan ketika sudah bersara,” katanya.

Disamping itu, sebagai bekas pemimpin SUPP, beliau sanggup menjadi orang tengah bagi membolehkan bekas ahli SUPP yang ketika ini menyertai parti pembangkang dan Parti Rakyat Bersatu (UPP) bagi kembali bersatu dalam SUPP.

“Saya akan membantu setakat mana yang termampu, tapi kalau ada yang tidak mampu, saya tidak akan memaksa diri,” katanya, yang juga yakin ramai ahli veteran SUPP juga akan sanggup membantu parti terbabit.

Beliau berkata mereka yang menceburi bidang politik sepatutnya tidak mengutamakan kepentingan diri sendiri dan lebih mengutamakan rakyat negeri ini dan sekiranya mereka tidak berminat berbuat demikian, beliau menasihatkan mereka supaya menceburi bidang perniagaan atau yang lain. ā€” DayakDaily