Tak sempat pulang ke kampung halaman, dua lelaki Indonesia ditahan tentera

Pasukan tentera menahan dua lelaki warga Indonesia yang tiada dokumen perjalanan sah.

LUNDU, Feb 14: Niat dua lelaki warga Indonesia untuk pulang ke Sambas, Kalimantan Barat, Indonesia selepas bekerja secara haram di sini tidak kesampaian apabila mereka ditangkap di sempadan Malaysia-Indonesia di sini semalam.

Pegawai Memerintah Batalion Ke-11 Rejimen Askar Melayu Diraja (11RAMD), Left Kol Salmi Istikh Ahmad berkata, kedua-dua lelaki berusia 18 dan 37 tahun itu ditahan kira-kira 200 meter dari pintu sempadan pada pukul 8 pagi.

Menurut beliau, selepas pemeriksaan dilakukan, kedua-dua lelaki yang mengaku bekerja sebagai tukang kebun itu tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

“Kedua-dua pendatang asing tanpa izin itu kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lundu untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Salmi menambah, sebelum tangkapan itu, sepasukan anggota tentera telah melaksanakan Ops Serkap di kawasan sempadan berkenaan.

“Pasukan itu telah melakukan intipan selama kira-kira empat jam sebelum berjaya menahan kedua-dua suspek.

“Kami akan terus melaksanakan Ops Serkap bagi mengekang kegiatan haram di sekitar pintu masuk ke negara ini,” ujarnya. — DayakDaily