Lapan wanita warga asing ditahan di sebuah pusat hiburan di Sri Aman

DSP Mathew Manggie

Oleh DayakDaily Team

SRI AMAN, 20 Mac: Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman menangkap lapan wanita warganegara Indonesia dalam satu operasi Op Noda, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Sri Aman DSP Mathew Manggie berkata tangkapan adalah hasil serbuan ke atas sebuah pusat hiburan di Sri Jaya Park, Jalan Hollis, di sini sekitar jam 10.30 malam.


Katanya, lapan wanita yang ditangkap dipercayai pelayan pelanggan di premis hiburan tersebut.

“Pemeriksaan telah mendapati lapan orang wanita tersebut merupakan warganegara Indonesia disyaki bekerja sebagai pelayan pelanggan di premis tersebut.

“Turut ditahan adalah lapan orang lelaki warga tempatan, termasuk tujuh orang merupakan pelanggan dan seorang lagi adalah orang yang disyaki mengaji wanita warga asing terbabit,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya, lapan wanita terbabit ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana disyaki bekerja tanpa permit sah.

“Seorang lelaki tempatan yang disyaki mengaji wanita-wanita warga asing terbabit ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63.

“Manakala tujuh lagi lelaki tempatan yang dipercayai pelanggan di premis terbabit dibebaskan selepas dokumentasi,” katanya.

Siasatan lanjut polis berhubung kejadian masih dijalankan. — DayakDaily