Penungguan untuk taraf kewarnegaraan berakhir untuk 4 adik-beradik

Kuan, 38, (dua dari kanan) bersama ahli keluarganya.

KUCHING, Feb 14: Setelah lima tahun berhadapan pelbagai proses rumit yang memeningkan kepala bagi memohon mendapatkan taraf kewarnegaraan Malaysia untuk empat orang anak, Kuan Chon Foo, 38, akhirnya meraikan perayaan Tahun Baru Cina ini dengan gembira kerana anak-anaknya berjaya mendapatkan taraf tersebut.

Empat anak-anaknya iaitu, Sze Nyun, 13, Nin Xuan, 12, Sze Jing, 8 dan Nin Le, 3, adalah antara 42 pemohon dari seluruh negeri ini yang mendapat surat mendapat taraf kewarganegaraan Malaysia yang disampaikan Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dato Seri Fatimah Abdullah di Majlis Penutupan Program Wacana Bestari: Masalah Dokumen Pengenalan Diri Di Bahagian Kuching dan Penyerahan Surat Kelulusan Permohonan Taraf Kewarganegaraan Di Bawah Perkara 15 A, di sini, hari ini.

Kuan yang berasal dari bandaraya ini dan bekerja sebagai juruelektrik berkata sebelum ini permohonannya mendapatkan taraf kewarnanegaraan bagi empat anaknya itu telah kerap kali ditolak kerana tidak dapat memberikan maklumat lengkap mengenai perkahwinan dan status kewarganegaraan isterinya, Yue Lang, 34 yang berasal dari Sarikei.


“Ini kerana isteri saya adalah anak angkat dalam keluarganya dan tiada memiliki sebarang dokumen yang mengesahkan pengangkatannya atau status kewarganegaraannya; jadi saya ada masalah mendaftarkan perkahwinan kami,” katanya.

Kuan, 38, (tiga dari kanan) bersama ahli keluarganya menerima surat kelulusan taraf warganegara bagi empat anak-anaknya yand disampaikan oleh Fatimah (empat dari kiri) di Kuching.

Berikutan itu permohonan empat anak-anaknya bagi belajar di sekolah kerajaan di negeri ini telah ditolak dan mereka selama ini terpaksa menumpang belajar di satu pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO).

“Saya sudah banyak kali memohon sekolah kerajaan supaya menerima mereka namun semuanya menolak permohonan itu dengan alasan sekolah terbabit tidak boleh menerima pelajar anak warga asing atau yang tiada taraf warganegara ini,” katanya.

Kuan berkata setelah semua anak-anaknya mendapat taraf kewarganegaraan, mereka bukan sahaja dapat belajar di sekolah kerajaan malahan juga boleh mendapatkan kad pengenalan sekiranya sudah 12 tahun keatas.

“Ini seterusnya melegakan sakit kepala yang dihadapi selama ini kerana terpaksa menghadapi proses rumit menguruskan permohonan mendapatkan status taraf warganegara ini untuk anak-anak,” katanya. Beliau juga mendedahkan selepas ini akan menguruskan permohonan mendapatkan taraf warganegara ini bagi anak kelimanya yang berusia dua bulan.

Sementara itu, Fatimah berkata jawatankuasa khas kewarganegaraan di Bawah Perkara 15 A Perlembagaan Persekutuan Peringkat Negeri Sarawak telah ditubuhkan pada Ogos 23, 2016.

Sejak penubuhannya, sebanyak 297 permohonan taraf warganegara bagi yang berumur kurang 21 di negeri ini telah dibentangkan kepada kerajaan pusat dari November 2017 hingga Januari 2018 dan sebanyak 92 surat kelulusan taraf kewarganegaraan dibawah Perkara 15 A telah diluluskan setakat ini termasuk 42 yang disampaikan kepada penerimanya hari ini. — DayakDaily