S’wak akan mengemukakan permohonan mewujudkan pusat pemulihan akhlak dalam negeri

Fatimah (kanan) dan Mohamad Rosidek (tiga dari kiri) serta rombongannya mengadakan sidang media di Bangunan Baitulmakmur II, Petra Jaya.

KUCHING, 2 Dis: Kerajaan Sarawak akan mengemukakan permohonan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mewujudkan satu pusat pemulihan akhlak bagi tahanan yang berkaitan pengedaran dadah di penjara negeri ini.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak Kanak, Dato Seri Fatimah Abdullah berkata ini kerana ketika ini tahanan terbabit dari negeri perlu dihantar ke dua pusat di Semenanjung Malaysia dan ini turut menyukarkan keluarga mereka yang perlu dilibatkan dalam program pemulihan pusat itu.

“Dua pusat terbabit di semenanjung ialah di Simpang Renggam, Johor dan Machang, Kelantan. Ada keperluan bagi menubuhkan pusat pemulihan akhlak tersebut di penjara di Sarawak,” katanya ketika mengadakan sidang media bersama Pengarah Penjara Negeri Sarawak, Timbalan Komisioner Penjara, Mohamad Rosidek Musa yang mengadakan kunjungan hormat ke pejabatnya di Bangunan Baitulmakmur II, Petra Jaya di sini, hari ini.


Fatimah berkata pihaknya masih belum menentukan penjara di negeri ini yang bakal memiliki pusat terbabit kerana ketika ini masih dalam proses memohon KDN mewujudkan satu pusat itu di Sarawak terlebih dahulu.

“Kita akan mendapatkan maklumat-maklumat yang akan menyokong pemohonan kita ini dari pihak kerajaan negeri kepada pihak KDN nanti,” katanya. Ini termasuk maklumat bilangan tahanan terbabit dari Sarawak dan kesukaran keluarga mereka menyertai program dua pusat itu di Semenanjung Malaysia.

Sementara itu, Mohamad Rosidek berkata pusat pemulihan akhlak terbabit adalah bagi orang yang tahanan dibawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 kerana terbabit pengedaran dadah tetapi susah dibuktikan dan dituduh di mahkamah.

“Jadi pihak polis akan mengunakan maklumat yang ada dan dimajukan kepada satu lembaga penasihat untuk mereka ditahan di pusat pemulihan akhlak, jadi mereka tidak melalui mahkamah,” katanya.

Beliau bagaimanapun tiada maklumat jumlah tahanan terbabit dari Sarawak setakat ini tetapi mendedahkan kebiasaannya tahanan terbabit akan berada di pusat pemulihan akhlak itu selama dua tahun. — DayakDaily