KWSP tetapkan dua kategori bagi kelayakkan pengeluaran i-Sinar

File photo for illustration purposes

KUALA LUMPUR, 2 Dis: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menetap dua kategori bagi kriteria dan butiran untuk membolehkan kira-kira lapan juta pencarum membuat pengeluaran daripada Akaun Satu.

KWSP menerusi satu kenyataan hari ini mendedahkan kategori pertama adalah terbuka kepada pencarum dalam sektor formal, bekerja sendiri, bekerja di dalam sektor ekonomi gig, sudah lama tidak mencarum, hilang pekerjaan, suri rumah atau yang diberi notis cuti tanpa gaji.

“Kriteria bagi Kategori Satu melibatkan ahli yang tiada caruman dengan KWSP sekurang-kurangnya selama dua bulan berturut-turut semasa permohonan atau ahli yang masih bekerja tetapi telah mengalami pengurangan gaji pokok sebanyak 30 peratus dan ke atas selepas 1 Mac 2020.


“Bagi kategori ini, tiada dokumen sokongan diperlukan dan kelulusan secara automatik berdasarkan data dalaman KWSP.

“Ahli hanya perlu memohon secara dalam talian melalui isinar.kwsp.gov.my mulai 21 Disember 2020 dan pembayaran untuk ahli yang layak akan bermula dari pertengahan Januari 2021,” menurut kenyataan itu.

Ketegori kedua pula terbuka kepada ahli yang masih bekerja tetapi mengalami pengurangan pendapatan keseluruhan sebanyak 30 peratus dan ke atas termasuk pengurangan gaji dan elaun, atau pemotongan tuntutan kerja lebih masa selepas 1 Mac lalu.

Pemohon dalam kategori ini perlu mengemukakan dokumen sokongan seperti slip gaji yang mempunyai butiran sebelum dan selepas pengurangan pendapatan, notis pemberhentian atau pemotongan elaun atau tuntutan kerja lebih masa.

“Jika dokumen di atas tidak boleh dikemukakan, sebarang dokumen sokongan lain seperti
penyata bank atau surat pengesahan majikan akan diberi pertimbangan dengan ahli boleh memohon secara dalam talian mulai 11 Januari tahun hadapan.”

Tambah kenyataan itu, ahli yang mempunyai baki RM100,000 dan ke bawah dalam Akaun Satu boleh membuat pengeluaran sehingga jumlah maksimum RM10,000 manakala ahli yang mempunyai baki lebih daripada RM100,000 dalam Akaun Satu boleh membuat pengeluaran maksimum 10 peratus atau RM60,000 (yang mana lebih rendah)
daripada akaun tersebut.

“Pembayaran akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam (6) bulan dengan bayaran pertama sehingga jumlah maksimum antara RM5,000 hingga RM10,000 bergantung kepada jumlah kelayakkan pengeluaran pencarum menerusi kemudahan i-Sinar tersebut,” menurut kenyataan itu. — DayakDaily