Suspek kes pecah rumah ditangkap, disyaki berbasikal untuk mencuri di Kuching

Basikal yang digunakan suspek.

KUCHING, 2 Dis: Lelaki disyaki suspek pecah rumah diberkas ketika kononnya melakukan riadah berbasikal di Jalan Petanak, di sini sekitar jam 3.45 pagi semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching Supt Merbin Lisa berkata suspek mulanya ditahan untuk pemeriksaan oleh anggota dari Balai Polis Padungan yang menjalankan rondaan cegah jenayah.

Bagaimanapun, hasil pemeriksaan ke atas beg bimbitnya membawa kepada penemuan beberapa peralatan dipercayai digunakan pecah rumah.


Susulan itu, dia kemudian dibawa ke balai polis untuk soal siasat.

“Hasil soal siasat awal, suspek mengakui pernah terlibat dalam satu kejadian pecah masuk pada Julai lepas dan hasil siasatan mendapati benar ada laporan sebuah pejabat kelas tuisyen di Jalan Mendu dipecah masuk dengan cara memotong mangga pintu pagar dan mengumpil pintu.

“Suspek kemudian mengaku memecah masuk pejabat tersebut dan kini usaha mengesan semula barang kes masih giat dijalankan,” dedah Merbin dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah Merbin, antara peralatan yang dijumpai pada suspek ialah pemotong dawai, pemutar skru, lampu suluh, spanar gabung, spanar boleh laras dan pisau kecil.

“Suspek semasa disoal siasat juga gagal memberikan keterangan munasabah berkenaan pemilikan basikal yang digunakannya semasa ditahan,” katanya.

Suspek yang mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah juga didapati positif dadah jenis methamphetamine.

“Suspek melakukan kegiatan pecah rumah dan curi bagi tujuan mencari wang mudah bagi membeli bekalan dadah untuk kegunaan harian,” kata Merbin.

Suspek kini direman sehingga 7 Disember untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana kesalahan pecah rumah dan curi. — DayakDaily