Sarawak pertimbangkan bas hidrogen di bandar utama seluruh negeri

Abang Johari pada ucapan di Sambutan Hari Wetland Sedunia 2020.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 8 Feb: Perkhidmatan bas hidrogen yang telah beroperasi di Bandaraya Kuching pada Januari lepas akan dipertimbangkan untuk digunakan di bandar-bandar utama di seluruh negeri.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata ia merupakan dasar dan komitmen kerajaan negeri untuk menjaga kelestarianĀ alam sekitar.

ā€œKerajaan negeri memiliki pendekatan yang positif untuk memelihara alam sekitar dan oleh sebab itu kita menggunakan kaedah-kaedah mesra alam termasuk perihal pembangunan kuasa.

ā€œKita mulakan operasi bas hidrogen di Kuching dan jika kos dan operasinya baik, sudah tentu kita akan kembangkan ke Sibu dan Miri,ā€ kata beliau pada Sambutan Hari Wetland Sedunia 2020 di Taman Rizab Semulajadi Bukit Lima di Sibu, hari ini.

Jika kewangan negeri mengizinkan tambah Abang Johari, perkhidmatan bas hidrogen mungkin hanya mengenakan bayaran yang minimal kepada pengguna.

Selebihnya akan ditanggung oleh kerajaan Gabungan Parti Sarawak dan inilah yang ingin kita laksanakan di Sarawak, tegas beliau.

ā€œMemang ramai orang berkata bahawa Abang Jo (Abang Johari) ini banyak berjanji. Memang saya banyak berjanji tapi ia berdasarkan kewangan yang ada.

ā€œTetapi setakat hari ini, saya rasa kita ada kewangan yang cukup untuk membiayai semua program pembangunan di bandar dan luar bandar.

ā€œUntuk luar bandar kita akan sediakan kemudahan-kemudahan asas manakala di kawasan bandar, pembangunannya mesti mengambil kira kawasan rizab semulajadi,ā€ katanya.

Pada 22 Januari lepas, kerajaan telah menyediakan perkhidmatan bas hidrogen percuma di Bandaraya Kuching untuk penduduk tempatan dan pelancong.

Sebagai permulaan, tiga buah bas disediakan dan ia melalui dua laluan, iaitu lingkaran Warisan Pusat Bandar yang melibatkan jarak 14km dan Lingkaran Damai (67km) yang beroperasi dari pukul 7 pagi hingga 7 malam, setiap hari. ā€” DayakDaily