Rizab Semulajadi Bukit Lima, Sibu diwarta sebagai Taman Hijau

Abang Johari (empat kiri) merasmikan logo baru Sarawak Forestry Corporation (SFC) pada Sambutan Hari Wetland Sedunia 2020 di Sibu.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 8 Feb: Sejumlah 219.22 hektar kawasan Rizab Semulajadi Bukit Lima di Sibu telah disytiharkan sebagai Taman Hijau.

Pengisytiharan terbabit telah disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg bersempena Sambutan Hari Wetland Sedunia 2020 di taman tersebut, hari ini.


“Kawasan seluas 219.22 hektar ini diwartakan sebagai kawasan hijau di
tengah-tengah Bandar Sibu dan ia tidak boleh dibangunkan lagi. Ia merupakan dasar kerajaan negeri untuk mempastikan ada kawasan hijau terutamanya di kawasan bandar.

“Kita bertuah kerana Sarawak memiliki dasar yang positif dan inovatif
seperti ini. Kita kenalpasti kawasan yang sesuai dan melaksanakan
konservasi,” katanya pada majlis perasmian.

Untuk keselesaan pengunjung, Abang Johari berkata kemudahan infrastruktur di Rizab Semulajadi Bukit Lima akan dinaiktaraf. Ia melibatkan kerja-kerja menurap jalan dan memperbaiki sistem perparitan menuju ke taman tersebut.

Menurut beliau lagi, selain beriadah pengunjung di kawasan rizab tersebut boleh melihat pelbagai jenis burung dan haiwan lain.

“Apabila Sibu memiliki kawasan rizab semulajadi dengan kepelbagaian
habitat, kita telah memenuhi tuntutan masyarakat antarabangsa yang inginkan satu dasar pembangunan yang mesra alam.

“Dengan penambahbaikan kemudahan infrastruktur, Rizab Semulajadi Bukit Lima bakal menjadi satu lagi kawasan tarikan pelancong,” katanya. — DayakDaily