Sarawak catat peningkatan kes denggi tinggi tahun ini — Dr Jamilah

Dr Jamilah (kanan) menyampaikan sijil BeSS kepada seorang pengusaha makanan tempatan ketika Sambutan Hari Keselamatan Makanan Sedunia 2019 peringkat negeri.

KUCHING, 22 Jun: Sarawak mengalami peningkatan kes penyakit denggi yang tinggi tahun ini dengan sebanyak 759 kes yang telah dilaporkan.

Pengarah Kesihatan Sarawak Dr Jamilah Hashim berkata dari jumlah itu, Kuching mencatatkan kes tertinggi, iaitu sebanyak 263 kes, diikuti Miri sebanyak (98 kes), Betong (94 kes) dan Sibu (73 kes).

Ini diikuti Serian (46), Kapit (44), Samarahan (40), Sarikei (37), Bintulu (24), Limbang (18), Sri Aman (16) dan Mukah (6).

“Graf kes (denggi) tahun ini menunjukkan Sarawak yang paling rendah kes di Malaysia tetapi kita bimbang peningkatan tinggi jumlah kes di negeri ini berbanding tahun lepas,” katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Keselamatan Makanan Sedunia 2019 peringkat negeri, di sini, hari ini.

Dr Jamilah (barisan atas, lima kiri) bersama penerima sijil BeSS dan sijil MeSTI.

Tahun lepas, dalam tempoh yang sama, Sarawak mencatat 218 kes denggi, dengan kawasan tertinggi di Samarahan dengan 38 kes, Sibu (36), Kuching (33), Betong (22), Kapit (21), Miri (21), Bintulu (9), Serian (7), Sarikei (6) dan Mukah (6).

Dr Jamilah berkata tahun ini juga belum ada kes kematian akibat demam denggi, tetapi satu wabak denggi telah berlaku di Jalan Ajibah Abol di bandaraya ini. Kawasan itu sudah mencatatkan sebanyak 42 kes denggi sejak wabak berlaku 13 Mei lepas.

Katanya Jalan Ajibah Abol kini dikategorikan sebagai titik panas bagi denggi dan pihak Jabatan Kesihatan Sarawak meminta kerjasama pemilik rumah untuk menghapuskan tempat pembiakan nyamuk aedes yang menyebabkan jangkitan denggi terhadap manusia.

“Setakat ini, kami telah mengeluarkan 11 notis kompaun di kawasan Jalan Ajibah Abol sahaja kerana banyak tempat pembiakan nyamuk aedes,” katanya.

Katanya kawasan utama pembiakan nyamuk terbabit ialah di satu blok kedai lama yang telah terbiar dan dihuni sekumpulan gelandangan. Pihaknya bersama agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan akan memindahkan penghuni terbabit.

“Sebelum ini kita telah menjalankan kerja menyembur racun nyamuk dan memusnahkan tempat pembiakannya di jalan terbabit tetapi wabak terus berlarutan,” katanya.

Majlis yang dianjurkan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan dibawah Kementerian Kesihatan turut menyaksikan seramai 15 pengusaha makanan tempatan menerima sijil Bersih Selamat dan Sihat (BeSS) dan seramai 10 pengusaha itu lagi menerima sijil Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI). — DayakDaily