Kualiti terbaik, ikan tilapia Batang Ai dikomersial melalui kerjasama China-Malaysia

Sagah (tujuh kanan) dan Jerip (enam kanan) memukul gong sebagai simbolik perasmian Sistem Tagang dan Pesta Da'ak Ganu di Kampung Ganu, Padawan.

Oleh Chris Bishop

PADAWAN, Jun 22: Negara China bakal mengadakan kerejasama dengan Malaysia melalui Salcra dalam mengkomersialkan ikan tilapia Batang Ai, Lubok Antu.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah berkata beliau telah mengadakan perbincangan dengan sebuah kumpulan usahasama, MatQtra International, berkenaan perkara tersebut.

Katanya, syarikat tersebut bercadang untuk melabur dan membentuk rangka kerja kolaboratif dengan Salcra.

“Menurut MatQtra International, kualiti ikan tilapia di Batang Ai sangat tinggi.

“Bahkan tilapia dari bahagian lain di dunia tidak dapat menyaingi kelazatan tilapia dari Batang Ai,” kata Uggah berkata di majlis perasmian Sistem Tagang dan Pesta Ga’ak Danu di Kampung Danu, di sini, hari ini.

Teks ucapan Uggah dibacakan Menteri Muda Pembangunan Tanah Adat, Datuk Roland Sagah yang mewakili beliau.

Sagah (berdiri di depan) dan Dr Jerip (di belakang Sagah) hadir ke pesta dengan menaiki rakit menyusuri Sungai Sarawak Kiri di Kampung Danu.

Tambah Uggah, syarikat tersebut telah membawa pakar untuk membuat kajian dan hasilnya mendapati keadaan tasik Batang Ai sangat sesuai untuk pembiakan ikan tilapia yang berkualiti.

“Kementerian saya akan mengadakan perbincangan lanjut dengan syarikat tersebut dan perkara ini membuktikan kita mempunyai banyak potensi untuk sektor pengeluaran ikan atau akulkultur.

“Kita sekarang ada tasik hidro Bakun, Murum dan tidak lama lagi akan ada tasik hidro Baleh yang potensi ketiga-tiga tasik ini belum lagi diterokai sepenuhnya,” katanya.

Mengulas mengenai sistem tagang, Uggah berkata sistem tersebut telah diterima rakyat pendalaman dengan baik sekali.

Sekarang ujar beliau, terdapat lebih 23 sistem telah diwujudkan di seluruh Sarawak.

“Sistem tagang bertujuan menimbulkan kesedaran mengenai pemuliharaan dan komitmen masyarakat setempat kearah meningkatkan pengeluaran ikan sungai untuk makanan serta menggalakkan eko pelancongan.

“Selain itu, ia juga mewujudkan sikap bertanggungjawab dalam menghalang, mengawal dan mengurangkan pencemaran sungai demi memelihara persekitaran semulajadi untuk generasi akan datang,” tegas Uggah.

Dengan berkurangan aktiviti pembalakan di kawasan pendalaman, beliau percaya akan membuka laluan untuk lebih banyak lagi sistem tagang diperkenakan.

Kalau dulu kita sering mendengar ada segelintir yang memusnahkan kehidupan sungai dengan menggunakan bahan kimia dan kuasa elektrik, sekarang ini jarang didengar berlaku disebabkan oleh sisten tagang, tambahnya.

Turut hadir Penaung Pesta Da’ak yang juga Menteri Muda Pengangkutan Datuk Dr Jerip Susil. — DayakDaily