Jerebu: Orang ramai dinasihatkan ambil langkah berjaga-jaga

Dr Jamilah Hashim

KUCHING, Sept 9: Berdasarkan pemantauan terhadap Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar, didapati bahawa beberapa bahagian di selatan Sarawak sedang mengalami kualiti udara pada tahap Tidak Sihat  dan Sangat Tidak Sihat, terutamanya di bahagian Kuching yang telah mencatatkan Bacaan IPU melebihi 200 bermula 7 September lepas.

Oleh kerana keadaan dijangka akan berterusan, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak menasihati agar orang ramai mengambil langkah berjaga jaga bagi mengurangkan kesan kesihatan akibat jerebu.

Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak, Dr Jamilah Hashim berkata, orang ramai dinasihatkan agar mengurangkan aktiviti fizikal di luar rumah dan cuba berada di dalam bangunan.

Katanya, orang ramai juga perlu minum air banyak sekurang-kurangnya 8 gelas sehari bagi mengekalkan tahap hidrasi badan.

“Seterusnya, gunakan penutup muka apabila melakukan aktiviti luar rumah dan kerap membasuh muka dan bahagian badan yang terdedah kepada jerebu.

“Mereka yang mengalami penyakit seperti batuk, selsema, asma, sakit mata, jangkitan  paru paru yang kronik hendaklah datang ke klinik dengan segera jika penyakit bertambah teruk,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Dr Jamilah menambah, orang ramai yang menggunakan kenderaan yang berhawa dingin hendaklah menghidupkan alat penghawa dingin dengan mod kitaran dalam dan menutup tingkap.

Jelasnya, pemandu kenderaan juga dinasihatkan untuk menyalakan lampu bagi pemanduan selamat

“Sekiranya mengalami tanda dan gejala penyakit berkaitan jerebu seperti mata berasa pedih dan berair, gatal kerongkong dan kerap batuk, hidung berair dan kerap bersin, sukar bernafas atau sesak nafas atau sakit dada, dan kulit badan berasa gatal, segeralah pergi mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan yang berhampiran,” ujarnya. — DayakDaily