JKNS: Bekalan stok vaksin rabies ada di Hospital Kapit

Dr Jamilah Hashim

Oleh Dean Adam

KUCHING, Sept 5: Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) hari ini menegaskan kenyataan sebuah portal online tempatan yang mendakwa Hospital Kapit tidak mempunyai vaksin rabies adalah tidak tepat.

Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak Dr Jamilah Hashim berkata, Hospital Kapit telah dibekalkan dengan stok vaksin rabies sejak Ogos 2017.


Jelasnya, setakat Sept 3 lepas, seramai 52 mangsa gigitan haiwan telah menerima vaksinasi rabies di Hospital Kapit.

“Untuk makluman, sejumlah 25 buah fasiliti kesihatan kerajaan di seluruh Sarawak telah dibekalkan dengan stok vaksin rabies bagi mangsa gigitan haiwan yang memerlukannya.

“Dua fasiliti kesihatan lain di Bahagian Kapit yang mempunyai stok vaksin rabies adalah Klinik Kesihatan Song dan Klinik Kesihatan Sungai Asap,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini

Dr Jamilah mengingatkan orang ramai, sekiranya digigit oleh anjing mereka, perlu segera membasuh luka gigitan dengan sabun dan air mengalir untuk sekurang-kurangnya 15 minit.

Jelasnya, selepas itu, mereka perlu mendapatkan pemeriksaan dan rawatan segera di klinik atau hospital kerajaan yang berdekatan.

“Orang ramai mesti sentiasa elakkan diri daripada digigit oleh anjing atau haiwan liar memandangkan kebanyakan kawasan di Sarawak adalah positif rabies,” katanya. — DayakDaily