Sada Sarawak adakan perhimpunan aman peringati penyertaan Sarawak dalam Malaysia

Perhimpunan aman Sada Sarawak di Pintu Gerbang Sibu hari ini.

SIBU, Sept 16: Gerakan Sada Sarawak (Sada) hari ini berhimpun secara aman di Pintu Gerbang Sibu sebagai memperingati penyertaan Sarawak dalam pembentukan Malaysia pada 16 September.

Perhimpunan itu disertai kira-kira 500 orang awam termasuk ahli Sada yang masing-masing membawa bendera dan kain rentang yang memaparkan ‘Saya Sokong Sarawak Keluar Malaysia’ , ‘Sarexit’ dan bendera negara Sarawak yang lama.

Ahli Sada Sarawak termasuk orang awam bergerak melalui pasar Sibu sebagai memperingati pembentukan Malaysia pada 16 September.

Terdahulu, kenderaan dan ahli Sada yang membawa bendera lama negara Sarawak bergerak mengelilingi pasar Sibu ke destinasi Pintu Gerbang sambil melaungkan ‘agi idup agi ngelaban’.

Perhimpunan di Pintu Gerbang Sibu menyaksikan ahli Sada memberikan ucapan ringkas dalam suasana aman.

Ucapan memberi penjelasan tentang kedudukan Sarawak yang meskipun sudah 55 tahun dalam Malaysia, namun negeri ini masih jauh ketinggalan dalam semua aspek terutama dari segi pembangunan sejak 16 September 1963.

Kenderaan yang dihiasi dengan bendera lama negara Sarawak bergerak perlahan menuju Pintu Gerbang Sibu.

Antara isu yang dibangkitkan adalah berhubung tanah adat bumiputera, pembalakan, pembangunan ladang kelapa sawit, isu kekayaan sumber asli negeri dan lain-lain.

Sada merasakan yang Sarawak masih tidak dilayan dengan adil.

Perhimpunan aman yang bermula jam 9 pagi itu berjalan dengan lancar sambil dipantau pasukan polis. — DayakDaily