PM dan isteri selamat tiba KIA

Tun Dr Mahathir yang disambut sejurus tiba di Terminal VIP, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.

KUCHING, 16 Sept: Pesawat membawa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad dari Kuala Lumpur selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa (KIA), di sini, pagi tadi.

Perdana Menteri dan isteri berkunjung ke bandar raya ini bagi menghadiri sambutan Hari Malaysia 2019 di Stadium Perpaduan, Petra Jaya, di sini, malam ini.

Sejurus mendarat di lapangan terbang terbabit jam 10.20 pagi, mereka berdua telah disambut di Terminal VIP oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan isteri, Datuk Amar Juma’ani Tunku Bujang.

Juga menyambut ketibaan mereka berdua ialah Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah,  Setiausaha Kerajaan Negeri Datu Jaul Samion dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datu Ik Pahon Joyik.

Selain itu, penyokong Pakatan Harapan dan rakan lama kepada Tun Mahathir juga kelihatan ada di Terminal VIP bagi menyambutnya. — DayakDaily