Pusat judi online perolehi keuntungan RM20,000 sehari diserbu di Kuching

Anggota operasi melakukan siasatan di lokasi serbuan di Jalan Lapangan Terbang, Kuching.

KUCHING, 25 Jun: Sebuah pusat operasi perjudian dalam talian perolehi keuntungan cecah RM20,000 sehari diserbu dalam satu operasi oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata pusat perjudian tersebut beroperasi di dalam sebuah rumah mewah di Jalan Lapangan Terbang yang dipercayai disewa sindiket terbabit untuk mengelak dikesan pihak berkuasa.

Bagaimanapun, risikan polis berjaya membongkar kegiatan perjudian tersebut dengan turut menahan empat individu dipercayai pekerja di premis tersebut dalam serbuan yang dilakukan sekitar jam 10.45 pagi.


“Modus operandi sindiket adalah dengan mempromosikan judi dalam talian dengan golongan sasaran menggunakan aplikasi seperti whatsApp, weChat dan Facebook.

“Premis tersebut beroperasi 24 jam sejak enam bulan lalu dengan keuntungan lebih kurang RM20,000 sehari.

“Empat individu disyaki operator iaitu tiga wanita dan seorang lelaki berusia 20 hingga 35 tahun juga ditangkap dalam serbuan tersebut untuk membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahsmon memberitahu pihaknya turut merampas tujuh unit komputer, 22 telefon bimbit dan peralatan komputer.

Kertas siasatan telah dibuka dibawa Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. — DayakDaily