Pusat judi dalam talian raih untung RM90,000 sejak dua bulan lalu digempur

Suspek yang ditangkap dalam operasi tersebut.

KUCHING, 10 Nov: Sebuah pusat operasi judi dalam talian raih keuntungan RM90,000 sejak dua bulan lalu digempur Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata seorang lelaki dan wanita warganegara Indonesia dipercayai operator pengendalian kegiatan perjudian dalam talian tersebut ditangkap untuk siasatan lanjut.

Katanya, kedua-dua suspek berusia 19 dan 25 tahun.

“Satu serbuan Op Dadu dijalankan kira-kira jam 5.10 petang semalam ke atas sebuah rumah dua tingkat di Jalan Stampin Tengah di sini, yang dijadikan sebagai pusat operasi dan pengurusan perjudian dalam talian.

“Dua warganegara Indonesia yang ditahan itu merupakan pekerja yang mengendalikan pusat perjudian berkenaan sejak dua bulan lepas dengan bayaran sebanyak RM1,500 sebulan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jelasnya, setiap suspek juga akan dibayar bonus berdasarkan peratusan keuntungan yang diperolehi sindiket tersebut.

“Sindiket mempromosikan perjudian dalam talian menggunakan aplikasi laman sosial seperti Whatsapp, Telegram, Wechat, Skype dan Facebook.

“Siasatan awal mendapati pusat berkenaan yang beroperasi sejak dua bulan lepas telah memperoleh keuntungan kasar sebanyak RM1,500 sehari dengan jumlah keseluruhan keuntungan mencecah RM90,000,” jelasnya.

Tegasnya, polis kini sedang berusaha mengesan pemilik rumah berkenaan.

Beliau menambah pasukan serbuan turut merampas dua unit monitor komputer, dua unit pemprosesan komputer (CPU) serta peralatan-peralatan lain yang digunakan untuk menjalankan kegiatan itu.

Siasatan kes dijalankan di bawah Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka yang boleh membawa hukuman denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak melebihi RM50,000 serta penjara tidak melebihi tiga tahun.

Kes juga disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. — DayakDaily