Projek benteng penahan ombak beri kelegaan kepada penduduk Kampung Lot Baru Rajang

Len semasa tinjauan ke tapak projek Masjid Kampung Jerijih.

KUCHING, 22 Jan: Pembinaan projek benteng penahan ombak dan hakisan sepanjang 50 meter akan memberi kelegaan kepada lebih 300 orang penduduk di Kampung Lot Baru Rajang.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Menteri Muda Pembangunan Bandar dan Sumber Asli merangkap ADUN Kuala Rajang Datu Len Talif Salleh berkata Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) tersebut bernilai RM650,000.

Katanya, ini akan memberi keselesaan dan manfaat kepada golongan nelayan menyimpan bot-bot mereka di samping meningkatkan keselamatan dari ancaman ombak besar terutamanya pada musim tengkujuh pada akhir tahun.


“Pembinaan benteng ini akan disambung dari masa ke semasa meliputi sepanjang kampung apabila peruntukan telah sedia ada,” katanya pada lawatan ke tapak projek semalam.

Terdahulu, Len sempat singgah dan melihat sendiri status terkini pembinaan Masjid Kampung Jerijeh.

Masjid bernilai RM4.3 juta daripada peruntukan RTP ini apabila siap kelak akan menjadi kebanggaan penduduk di sekitarnya dan dijangka siap sebelum Hari Raya Aidilfitri.

Pada sebelah petang, Len berkesempatan melakukan simbolik Penyerahan Tapak Skim Penempatan Semua Baji Jaya, Sarikei.

Kerajaan negeri katanya telah memperuntukkan sebanyak RM5.38 juta untuk kerja-kerja penyediaan tapak lot tanah di kawasan skim tersebut.

“Kerja-kerja fasa kedua, peringkat kedua ini akan menyediakan sebanyak 162 lot tanah untuk diagihkan kepada pemohon kelak.

“Antara aspek yang akan disediakan ialah menembok tanah lot, jalan berturap, sistem perparitan, bekalan air dan elektrik serta telekomunikasi,” ujar beliau.

Di samping itu tambah Len, kawasan ini akan dibangunkan secara menyeluruh dan boleh di anggap sebagai sebuah bandar yang lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti tapak perkuburan, rumah-rumah kedai, sekolah, dewan, rumah ibadah dan banyak lagi kemudahan.

Ujar beliau, penduduk di kawasan ini juga boleh memohon untuk membangunkan serta mengusahakan tanah pertanian dalam kawasan Agropark untuk mempelbagaikan sumber pendapatan serta meningkatkan ekonomi tempatan.

“Penduduk yang telah mendapat dan menerima lot masing-masing sudah boleh membina rumah mengikut kemampuan yang sedia ada manakala golongan B40 boleh memohon skim perumahan yang disediakan oleh kerajaan,” katanya. ā€” DayakDaily