Polis Sarawak nafi salah guna kuasa ketika keluarkan kompaun di Miri

Datuk Aidi Ismail

KUCHING, 23 Mei: Polis Sarawak menyangkal dakwaan Senator Alan Ling bahawa terdapat unsur salah guna kuasa oleh Polis Miri ketika mengeluarkan kompaun kepada pelangan dan pemilik sebuah kedai di Luak Bay di Miri.

Persuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail berkata tindakan kompaun tersebut diambil berdasarkan maklumat yang diterima daripada orang awam memaklumkan premis tersebut menghidangkan sarapan pagi kepada pelanggan mereka.

Katanya, satu pasukan pemantuan Covid-19 yang ke premis terbabit sekitar jam 9.30 pagi mendapati perkerja premis berkenaan sedang menyediakan makanan untuk dihidangkan kepada pelangan terbabit secara ‘dine in’.


Bagaimanapun kehadiran pasukan pemantau tersebut disedari beberapa pelangan lalu menyebabkan mereka bertindak melarikan diri.

“Pihak polis mendapati pemilik premis telah melanggar peraturan serta syarat-syarat yang dikenakan dibawah Perintah Kawalan Pergerakkan Bersyarat (PKPB) selain keadaan kedai yang disusun atur untuk kemudahan pelanggan duduk menjamu selera.

“Manakala perkerja kedai kelihatan sedang mengemas meja makan yang didatangi pelangan selepas menyedari kehadiran pihak polis selain terdapat seorang pelangan masih duduk dan makan di sebuah meja tidak jauh dari kedai berkenaan tanpa menghiraukan kehadiran pihak polis,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, ekoran daripada keadaan itu, satu kompaun berjumlah RM5,000 telah dikeluarkan kepada pemilik premis berkenaan atas kesalahan melanggar SOP PKPB dengan membenarkan pelanggan menjamu selera di premis miliknya.

Katanya, hanya selepas dikompaun, individu yang mengaku sebagai pemilik sebuah gerai di premis tersebut menyatakan ketidakpuasan hatinya dengan tindakan yang dikenakan terhadapnya.

“Semakan lanjut juga mendapati pemilik tersebut tidak mempunyai lesen dari Majlis Bandaraya Miri dan hanya mempunya lesen perniagaan sahaja,” katanya.

Aidi berkata, berdasarkan situasi tersebut, dakwaan yang dikemukakan  oleh Ling dan pemilik premis terbabit adalah tidak benar kerana ia boleh disemak menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) premis berkenaan.

Justeru katanya, pemilik premis terbabit diminta untuk mengemukakan salinan penuh rakaman CCTV pada hari kejadian kepada pihak polis untuk membantu siasatan pelanggaran peraturan PKPB.

“Tindakan yang diambil oleh pihak polis adalah berdasarkan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit berjangkit 1988 (Akta 342) serta peraturan-peraturan berkaitan dan tidak timbul isu salah guna kuasa oleh pihak polis memandangkan tindakan yang diambil adalah berdasarkan undang-undang sedia ada,” katanya. — DayakDaily