Polis sahkan dua lelaki maut akibat dipatuk ular berbisa

Pasukan menyelamat mengusung mayat mangsa.

MUKAH, Sept 16: Polis Mukah mengesahkan dua lelaki yang ditemui mati semasa mencari buah asam paya adalah akibat dipatuk ular dipercayai jenis berbisa di kawasan hutan Kampung Bedanga di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Jimmy Panyau berkata, kedua-dua mangsa iaitu Stanley Saka, 21, dan Duwat Jabu, 23, disahkan meninggal dunia akibat patukan ular.

Jelasnya, ia adalah berdasarkan laporan yang diterima daripada Hospital Mukah selepas pemeriksaan dilakukan ke atas mayat kedua-dua mangsa.


“Seorang lagi mangsa yang selamat pula kini masih menerima rawatan di Hospital Mukah dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

“Rakaman percakapan mangsa yang selamat telah diambil untuk tindakan selanjutnya,” katanya di sini hari ini.

Jimmy menambah, berdasarkan rakaman percakapan mangsa selamat menyatakan semasa berada di hutan mereka telah menjumpai sarang ular di bawah pohon kayu.

Katanya, kedua-dua rakannya yang meninggal dunia itu telah mengusik sarang ular tersebut sebelum mereka diserang oleh reptilia berkenaan.

“Mereka kemudia bertempiaran lari untuk menyelamatkan diri.

“Mangsa yang selamat itu juga dia menyatakan telah dipatuk ular beberapa kali sehingga menyebabkannya tidak dapat bergerak,” katanya, sambil menambah, kes berkenaan masih lagi dalam proses siasatan. — DayakDaily