Dua pencari asam paya ditemui mati, seorang lagi selamat

Anggota bomba membawa keluar mangsa yang ditemui selamat.

MUKAH, Sept 16: Dua lelaki dijumpai mati, manakala seorang lagi selamat hari ini selepas mereka dilaporkan hilang selepas keluar mencari asam paya di kawasan hutan Kampung Bedanga dekat sini semalam.

Difahamkan ketiga-tiga mangsa dikatakan keluar ke hutan dengan niat mencari asam paya kira-kira pukul 7 pagi, Sabtu, namun tidak pulang ke rumah masing-masing hari ini.

Susulan itu, ahli keluarga mangsa kemudian membuat laporan polis berhubung kehilangan mereka untuk tindakan selanjutnya.


Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mukah, Abdul Rasit Morni berkata, dua mangsa yang disahkan meninggal dunia dikenalpasti sebagai Stanley Saka, 21, dan Chuat, 24.

Manakala katanya, seorang lagi lelaki iaitu Lawrence Jainal, 40, dilaporkan selamat, namun keadaan dia dilaporkan sangat lemah.

“Pasukan mencari dan menyelamat berjaya menemui mangsa pertama (Stanley) di bawah pokok dalam keadaan sudah tidak bernyawa lagi kira-kira pukul 11.15 pagi.

“Selepas itu, pasukan sama kemudian menjumpai mangsa kedua (Lawrence) dalam keadaan selamat, tetapi kelihatan amat lemah pada jarak 60 meter dari mayat Stanley,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Rasit memberitahu, mayat kedua (Chuat) pula ditemui kira-kira 50 meter dari mangsa kedua.

Katanya, pasukan menyelamat kemudian membawa keluar mangsa yang selamat terlebih dahulu pada pukul 12.35 tengah hari.

“Mayat kedua-dua mangsa pula selamat dibawa keluar pada pukul 2 petang sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya.

Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan menerima laporan penemuan mayat dua lelaki berkenaan.

Jelasnya, pihak polis masih menunggu laporan bedah siasat untuk mengetahui punca kematian mangsa.

“Buat masa ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” ujarnya. — DayakDaily