Polis berkas penagih dadah ugut bunuh pakcik sendiri

Suspek ditahan sekitar jam 9.50 malam pada Rabu

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 4 Feb: Gara-gara ketagihan dadah, seorang lelaki sanggup mengugut bunuh pakciknya sendiri selepas mangsa enggan menyerahkan kad ATM milik ibunya.

Kejadian berlaku pada petang Rabu di sebuah rumah di Kampung Luak 4E sekitar jam 4.40 petang.


Sebelum kejadian, suspek berusia 45 tahun itu telah datang ke rumah pakciknya dalam keadaan marah sambil berteriak meminta kad ATM milik ibunya.

Apabila pengadu enggan menunaikan permintaannya, suspek telah mula bertindak agresif terhadap pengadu.

Bimbang dengan keselamatan dirinya, pengadu akhirnya mengalah dan menyerahkan kad bank ibu mangsa.

Satu laporan polis telah dibuat susulan kejadian.

Bertindak dari laporan tersebut, anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Miri (JSJ) telah menahan suspek di Kampung Pasir Putih, Lambir pada hari yang sama, lima jam selepas kejadian berlaku.

Menurut siasatan awal, suspek mengaku hendak membeli bekalan dadah jenis syabu menggunakan wang ibunya, maka sebab itu dia telah bertindak mengambil kad ATM ibunya dari pengadu.

Suspek yang juga mempunyai tiga rekod jenayah lampau kini ditahan pihak polis untuk siasatan lanjut.

Ketua polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari mengesahkan tangkapan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah. — DayakDaily