Tampar ibu kandung: Pemuda ke lokap untuk siasatan lanjut

Suspek (tengah) telah ditangkap untuk siasatan lanjut.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 31 Mac: Perbuatan seorang lelaki menampar ibunya selepas mangsa enggan memberikannya wang, mengundang padah apabila dia ditahan pihak polis petang Selasa.

Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari, tangkapan dilakukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri dibantu Unit Ronda Cegah Jenayah Balai Polis Batu Niah sekitra jam 2 petang.

Katanya, tangkapan dilakukan susulan menerima laporan daripada mangsa yang berusia 44 tahun itu.

Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku di sebuah rumah di Kampung Penang Long Suvvak minggu lalu, selepas mangsa enggan menurut kehendak anaknya itu.

Mangsa mengalami kecederaan pada pipi kiri akibat dipercayai ditampar oleh suspek.

Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.

Suspek kini sedang ditahan di lokap Balai Polis Pusat Miri untuk tindakan lanjut. ā€” DayakDaily