Tergamak ugut bunuh ibu kerana tak dapat wang

Suspek ditahan untuk siasatan

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 4 Feb: Seorang lelaki yang mempunyai tujuh rekod jenayah lampau ditahan polis malam Rabu selepas bertindak merosakkan pintu pagar rumah kakak kandungnya di Lorong 4 Bandar Baru Permyjaya di sini.

Difahamkan kejadian berlaku selepas permintaannya untuk mendapatkan wang dari ibunya ditolak.


Kejadian dilaporkan telah berlaku sekitar jam 2.07 petang semasa pengadu, iaitu kakak suspek yang berusia 52 tahun sedang menonton televisyen di ruang tamu dan tiba-tiba terdengar suspek meninggikan suara ketika berada di luar rumah.

Pengadu yang berada di dalam rumah pada ketika itu telah keluar dan mendapati suspek telah mengamuk dengan cara menendang pagar hadapan rumah pengadu.

Suspek juga berkata ‘mahu membunuh ibu pengadu’ yang pada masa itu sedang berdepan dengan suspek dan berada di perkarangan rumah tersebut.

Hasil siasatan lanjut mendapati punca kejadian disebabkan suspek meminta duit daripada ibu pengadu namun tidak diberikan menyebabkan suspek bertindak agresif dengan cara menendang pagar rumah pengadu serta mengeluarkan kata-kata ugutan iaitu “aku bunuh kamu”.

Menurut sumber, kejadian sedemikian sering berlaku sekiranya kehendak suspek tidak dituruti.

Satu laporan polis telah dibuat susulan kejadian.

Bertindak daripada laporan tersebut, anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) telah menahan suspek yang berusia 41 tahun di sebuah rumah di Desa Indah 2 sekitar jam 9.55 malam Rabu.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari mengesahkan penangkapan suspek.

Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutana jenayah. — DayakDaily