Geng pecah rumah Alphard Hitam tumpas

Kesemua suspek (tengah) ditahan pihak polis dalam serbuan malam Jumaat.

MIRI, 26 Mac: Empat lelaki, termasuk tiga warga Indonesia yang dikenali Geng Alphard Hitam diberkas kerana disyaki terkibat dalam kegiatan jenayah pecah rumah dalam satu serbuan di sebuah rumah di Jalan Riam awal pagi Jumaat.

Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari, tangkapan dilakukan sekitar jam 6.15 petang.

Serbuan dilakukan kurang 24 jam selepas sebuah rumah di Jalan Kamoung Luak dipecah masuk pada Jumaat.

Kesemua suspek berusia antara 32 dan 52 tahun itu ditahan susulan dimaklumkan kejadian pecah rumah daripada pemilik rumah tersebut.

Anggaran kerugian lebih RM12,000.

Dalam kejadian yang dilaporkan berlaku sekitar jam 2.30 pagi itu, kesemua suspek telah memecah masuk ke rumah pengadu dengan bertindak memadamkan suis utama sebaik tiba di perkarangan rumah tersebut.

Kejadian turut dirakam kamera litar tertutup mangsa.

Suspek dilihat melarikan diri bersama barangan curi dari rumah mangsa menggunakan kereta Alphard berwarna hitam.

Antara barangan yang dilaporkan hilang semasa kejadian sebuah peti besi mengandugi wang tunai sebanyak RM3,000, beberapa botol arak perbagai jenama, sebuah televisyen dan sebuah video kamera.

Hasil pemeriksaan lanjut ke atas tiga suspek warga Indonesia mendapati mereka gagal menunjukan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Pihak polis turut menemui sebuah peti besi yang dipercayai telah dibuang suspek di tepi jalan Miri-Bintulu.

Kesemua suspek kini sedang ditahan di lokap Balai Polis Pusat Miri untuk siasatan lanjut.

Kertas siasatan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 telah dibuka. ― DayakDaily