PICKIDs di Miri bermula 5 Feb

Dato Sri Lee Kim Shin

KUCHING, 7 Feb: Hospital Miri telah memulakan suntikan vaksin Covid-19 kepada kanak-kanak yang berumur 5 hingga bawah 12 tahun mulai Sabtu, 5 Februari lepas.

Menurut Menteri Bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bahagian (JPBB) Miri Datuk Lee Kim Shin, ia bagi kanak-kanak yang berkomorbid dan mendapat rawatan susulan di Hospital Miri.

Katanya, bagi kanak-kanak yang tidak bersekolah dan berumur 5 hingga bawah 12 tahun, ibubapa atau penjaga boleh membuat temujanji vaksinasi di mana-mana Klinik Kesihatan yang berhampiran.

“Ia sama ada melalui panggilan telefon atau hadir secara fizikal ke klinik untuk membuat temujanji dengan membawa dokumen pengenalan anak.

“Manakala bagi kawasan pedalaman, Ketua Kampung, Tuai Rumah atau Kapitan adalah diminta untuk mengenal pasti kanak-kanak di kawasan masing-masing yang berumur 5 hingga bawah 12 tahun dan selanjutnya memberikan maklumat tersebut kepada klinik kesihatan yang berhampiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Lee yang juga Menteri Pengangkutan, ibubapa juga digalakkan untuk mendaftar anak mereka sebagai ‘dependant’ dalam MySejahtera untuk tujuan sijil digital vaksinasi.

Dalam pada itu, Pejabat Kesihatan Bahagian Miri telah menerima bekalan awal vaksin Pfizer (kanak-kanak) pada 29 Januari 2022 untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) Bahagian Miri yang dijadualkan bermula pada hari ini.

Sebahagian bekalan vaksin tersebut juga telah diagihkan ke Klinik Kesihatan di pedalaman Miri yang mempunyai Pegawai Perubatan (Klinik Kesihatan Bario, Klinik Kesihatan Mulu, Klinik Kesihatan Long San, Klinik Kesihatan Long Bedian, dan Klinik Kesihatan Long Jekitan) pada 31 Januari 2022 yang lalu.

Ia diagih dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menggunakan helikopter JBPM.

Penyelarasan telah dibuat antara pihak Pejabat Pendidikan Daerah dan pihak Klinik Kesihatan yang berhampiran. Temujanji diaturkan di Klinik Kesihatan dengan kerjasama pihak sekolah.

“Sehubungan itu, ibu, bapa atau penjaga perlu menemani anak-anak mereka yang akan menerima suntikan vaksin ke Klinik Kesihatan pada masa dan tempat yang dimaklumkan oleh pihak sekolah.

“Surat Perwakilan kepada individu untuk membawa anak mereka menerima vaksin perlu ditandatangani oleh ibubapa/ penjaga sekiranya mereka tidak dapat hadir bersama,” ujar Lee. — DayakDaily