23 orang ditangkap di Kuching sejak 31 Januari, disyaki terlibat kegiatan dadah

Gambar komposit menunjukkan pasukan operasi menjalankan siasatan di lokasi serbuan.

KUCHING, 7 Feb: Seramai 23 orang, termasuk dua wanita ditangkap dalam beberapa operasi oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching dalam tempoh enam hari sejak 31 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata kesemua suspek yang berusia dalam lingkungan 20 hingga 41 tahun itu ditangkap kerana disyaki terlibat aktiviti penyalahgunaan dadah.

Katanya, beberapa lokasi operasi ialah Kampung Pasir Pandak, Kampung Pinang Jawa, Jalan Tabuan dan Jalan Tunku Abdul Rahman.


“Seramai empat orang suspek mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau berkaitan dadah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelas beliau siasatan kes dijalankan di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 (dua kes), Seksyen 12(2) ADB 1952 (enam kes) dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 (11 kes).

Selain itu, pasukan operasi turut merampas dadah jenis syabu seberat kira-kira 16.75 gram.

“Polis Kuching sentiasa mengalu-alukan maklumat orang awam berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah,” katanya. — DayakDaily