PGA Briged Sarawak lakukan 229 serbuan babitkan rampasan mencecah RM27.27 juta

Saini (tengah) bersama pegawai kanannya menunjukkan gambar kejayaan operasi yang dilakukan oleh PGA Briged Sarawak.

KUCHING, 5 Julai: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak telah melaksanakan 229 serbuan dan 754 tangkapan serta pengusiran membabitkan rampasan barang bernilai RM27.27 juta bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Komandernya SAC Saini Bongkek berkata jumlah tangkapan tersebut membabitkan seramai 149 warga tempatan yang terdiri daripada 128 lelaki dan 21 wanita.

Manakala tangkapan membabitkan warga asing adalah seramai 169 orang yang terdiri daripada 137 lelaki dan 32 wanita.


“Selain itu, jumlah pengusiran melibatkan seramai 436 warga asing yang terdiri daripada 367 lelaki dan 69 wanita dan kesemuanya membabitkan rakyat dari negara Indonesia.

“Manakala pecahan nilai rampasan adalah melibatkan rokok seludup bernilai  RM16,387,683.10, kayu balak bernilai 4,926,682.60, kenderaan berjumlah RM4,449,850.00, arak dan miniman keras seludup bernilai RM562,526.99, dadah RM28,865.00, hidupan dan tumbuhan dilindungi RM222,000.00 serta lain-lain rampasan bernilai RM691,067.63,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PGA Briged Sarawak, hari ini.

Katanya, kesemua tangkapan dan rampasan disiasat di bawah Akta Imigresen 1963, Akta Kastam 1967, Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran, Ordinan Hutan Sarawak 2015, Ordinan Perlindungan Hidupan Liar Sarawak 1998 dan lain-lain akta yang berkaitan.

“Hasil siasatan mendapati warga tempatan yang dicekup dalam operasi yang dijalankan adalah berperanan sebagai transporter serta tekong darat yang mengambil dan menghantar Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ke destinasi seperti yang telah ditetapkan sindiket.

“Mereka ini dipercayai menerima bayaran minumum RM300 bagi setiap trip dengan membawa PATI yang menyelinap masuk ke sempadan negara melalui pelbagai cara termasuklah berjalan kaki dan menaiki kenderaan,” katanya.

Tambahnya juga, sindiket ini sering mengubah modus operandi bagi membawa PATI terutamanya diuruskan oleh dalang di negara jiran.

Katanya, mereka akan menggunakan rangkaian di Malaysia bagi mengatur perjalanan dan tempat transit sementara.

“Mereka licik kerana sentiasa memantau keadaan kawalan sekeliling dan mengetahui pergerakan pasukan keselamatan yang bertugas di kawasan sempadan,” katanya.

Beliau memberitahu Bahagian Kuching, Serian dan Sri Aman adalah merupakan antara lokasi panas kemasukan PATI.

“Ini disebabkan beberapa faktor seperti terdapatnya permintaan yang tinggi dan peluang pekerjaan dalam sektor pembuatan, perladangan, dan pembinaan serta lain-lain faktor penarik yang boleh menjamin kehidupan yang lebih selesa dan selamat kepada mereka,” katanya. — DayakDaily