PGA Sarawak laksana 359 serbuan babitkan nilai rampasan RM47.39 juta

Kelihatan Saini semasa bercakap dalam sidang media tersebut hari ini (28 Okt 2021).

KUCHING, 28 Okt: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak melaksanakan sebanyak 359 serbuan dan 1,217 tangkapan serta pengusiran membabitkan rampasan barang bernilai RM47.39 juta sejak awal tahun hingga semalam (27 Okt).

Komander Briged Sarawak, SAC Saini Bongkek berkata seramai 211 warga tempatan yang terdiri daripada 186 lelaki dan 25 wanita merupakan antara yang ditangkap sepanjang tempoh tersebut.

Katanya, seramai 265 tangkapan lagi membabitkan warga asing yang terdiri daripada 223 lelaki dan 42 wanita.


“Jumlah pengusiran pula melibatkan seramai 741 warga asing yang terdiri daripada 613 lelaki dan 128 wanita termasuk kanak-kanak.

“Kesemua tangkapan dan pengusiran warga asing membabitkan rakyat dari negara Indonesia dan Filipina,” katanya dalam satu sidang media di sini, hari ini.

Jenis rampasan yang mencatatkan nilai tertinggi adalah rokok seludup iaitu sebanyak RM24.9 juta, diikuti rampasan kenderaan bernilai RM15.8 juta.

Selain itu, rampasan membabitkan dadah, arak dan minuman keras seludup masing-masing bernilai RM1.7 juta, minyak diesel (RM653,927), kayu balak (RM87,985), hidupan dan tumbuhan dilindungi (RM267,600), mercun (RM148,772), wang rasuah (RM5,000) dan
lain-lain rampasan (RM2.8 juta).

“Kesemua tangkapan dan rampasan disiasat mengikut Akta Imigresen 1963, Akta Kastam 1967, Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran, (Atipsom) 2007, Ordinan Hutan Sarawak 2015, Ordinan Perlindungan Hidupan Liar Sarawak 1998dan lain-lain akta yang berkaitan,” katanya.

Tegas Saini juga, PGA Briged Sarawak akan terus mengukuhkan kawalan keselamatan di sempadan negara khususnya sempadan Sarawak – Kalimantan, Indonesia.

“Kita akan memerangi tiga jenayah utama melalui Op Benteng Covid yang sedang dilaksanakan memfokuskan kepada jenayah Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati), penyeludupan dadah serta aktiviti kontraban seperti rokok dan arak,” katanya.

Katanya,pelbagai strategi dan Modus Operandi (MO) penyeludupan dan penyusupan Pati dikesan oleh pasukan bertugas.

“Kita akan memastikan sempadan negara tidak dibolosi dengan begitu sahaja oleh anasir-anasir yang tidak bertanggungjawab.

“Pelbagai bentuk rondaan dijalankan oleh pegawai dan anggota mengikut kekerapan yang tinggi di kawasan yang dikenali sebagai ‘hot spot’ sejauh 476 kilometer melibatkan pembahagian Kawasan Tanggungjawab (KTJ) kepada tiga sektor merangkumi Bahagian Kuching, Serian dan Sri Aman,” katanya. — DayakDaily